Selepas ‘makan’ Chile, Maghribi ikat Paraguay
Seville, Sepanyol: Maghribi mempamerkan prestasi menarik tetapi terpaksa seri 0-0 dengan Paraguay dalam aksi persahabatan di Sepanyol, awal pagi tadi.
Maghribi yang memanaskan badan menjelang Piala Dunia di Qatar pada November menewaskan Chile 2-0 di Barcelona Jumaat lalu dan hampir mencipta satu lagi kemenangan ke atas satu pasukan dari Amerika Selatan di Stadium Benito Villamarin milik Real Betis.
Mereka menembusi gawang Paraguay pada babak kedua namun jaringan Ryan Mmaee dibatalkan susulan ofsaid.
Mereka juga terpaksa bekerja keras bagi mengekalkan rekod tanpa bolos selepas pemain Paraguay, Miguel Almiron beberapa kali menembusi pertahanan namun dihampakan penyudah tumpul.
Maghribi beraksi dalam Kumpulan F di Piala Dunia bersama Belgium, Kanada dan Croatia.
Dalam perlawanan lain, penganjur Piala Dunia Qatar terselamat selepas Alexis Sanchez gagal menjaringkan penalti lewat permainan buat Chile dalam aksi di Vienna yang berakhir 2-2.
Iran mengikat juara Afrika, Senegal 1-1 selepas Sardar Azmoun yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol penyamaan manakala Amerika Syarikat hanya mampu seri 0-0 dengan Arab Saudi di Murcia, Sepanyol.
METRO