Konsert serlah bakat seni tari pelajar UTP

( Konsert JunjungTradisi menyerlahkan bakat seni tari pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Bakat seni pelajar Universiti Teknologi Petronas (UTP) terserlah menerusi gerak tari yang lemah gemalai dan rancak mengikut rentak dalam sebuah konsert yang dipersembahkan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) baru-baru ini.



Persembahan menerusi Konsert Junjung Tradisi – A Night with UTP Stars itu diadakan dengan kerjasama DFP bertujuan menyemarakkan kegiatan seni dan budaya dalam kalangan generasi muda sekarang.

Menurut laporan sebuah akhbar tempatan, konsert itu menampilkan pelbagai unsur muzik tradisional seperti gamelan Melayu dan Melayu tradisional.

“Lagu gamelan kontemporari dibarisi artis berbakat dari UTP Performing Arts Group (UPAG), kumpulan gamelan Sanggar Kirana dan kumpulan pemuzik tradisional UTP Petra Group,” kata laporan itu.

Usaha UTP dan DFP itu diharap dapat memupuk minat generasi muda terhadap muzik tradisional Melayu terutama dalam kalangan pelajar universiti.



Sehubungan itu, usaha mengadakan konsert ini seharusnya mendapat pujian kerana inisiatif tersebut bukan sahaja dapat menyemai bakat kreatif melalui aktiviti kebudayaan dan seni persembahan, malah memartabatkan muzik tradisi Melayu dalam kalangan generasi muda.

“Objektif UPAG adalah untuk menjadi pemangkin yang memberi inspirasi kepada penghayatan seni, budaya dan warisan Malaysia dalam kalangan generasi muda,”tambah laporan tersebut.

UTP merupakan sebuah universiti yang terletak di Bandar Seri Iskandar, Perak dan fokus kepada pengajian dalam bidang berkaitan industri, kejuruteraan serta sains dan teknologi.

Padat dengan elemen tradisional Melayu, tirai persembahan konsert itu dibuka dengan persembahan tari adat Melayu dengan iringan nyanyian, Rosli Abu Bakar dari Istana Budaya (IB).



Persembahan lain adalah Joget Gamelan Topeng yang dahulunya kerap dipersembahkan di hadapan keluarga Diraja Pahang dan Terengganu.

Selepas rancak berjoget, penonton dihiburkan dengan persembahan Isang iaitu istilah Melayu lama yang bermaksud berkumpul untuk bergembira, misalnya aktiviti rewang atau gotong royong sempena majlis perkahwinan.

Persembahan lain adalah dendangan lagu Gegar yang memberi fokus kepada elemen pop rock dan lagu Madah Teruna mengenai jejaka yang mahu memikat wanita dengan puisi indah yang penuh rasa sayang.

Konsert yang berlangsung selama kira-kira 60 minit itu turut diwarnakan dengan bingkisan lagu Inang Godampol, Zapin Madah Pusaka dan Joget Selayang Pandang.




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading