PAS nafi namakan Abdul Hadi Awang sebagai calon PM
PETALING JAYA – Pas menafikan kononnya menamakan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Parti itu dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak pernah mengeluarkan kenyataan tersebut dan melahirkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.
“Pas menafikan kenyataan media yang kononnya dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas dengan tajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’,” kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu, tular satu kenyataan bertajuk ‘Bersama Mempertahankan Kepimpinan Ulama’ bertarikh 6 Oktober kononnya mengatakan Pas bersama PN sentiasa memberikan komitmen dengan meletakkan calon yang terbaik membawa agenda Melayu Islam untuk menerajui kepemimpinan negara.
Selain mencadangkan Abdul Hadi sebagai calon Perdana Menteri daripada PN, kenyataan itu didakwa menyeru rakyat Malaysia untuk berdiri teguh mengangkat dan mempertahan kepimpinan ulama untuk menerajui negara.
Kenyataan berbeza dengan pendirian beberapa pemimpin PN yang mahu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
© Utusan Online