Awie kesal didakwa punca kerosakan akhlak
Penyanyi kumpulan Wings, Datuk Awie tampil menjelaskan isu mengenai penglibatan kumpulannya pada sebuah konsert di negeri Kelantan yang didakwa bertentangan dengan dasar pembangunan Islam yang dibawa oleh sebuah parti politik negeri tersebut.
Jelas Awie, tiada masalah sekiranya sedikit hiburan diberikan kepada rakyat negeri itu, malah dia turut mengingatkan agar ahli politik tidak terlalu cepat menghukum sesuatu perkara.
“Bagi saya mudah sahaja, kalau manusia itu betul-betul mahu berubah bukan setakat kepada sesuatu yang jahil, mengisi sedikit ruang untuk berhibur adalah tidak salah.
“Untuk rakyat di sana, supaya tidak pergi ke seberang (Thailand) berhibur sehingga tidak tentu arah dan memberi kesan teruk, lebih baik duduk berhibur di negeri sendiri, lagi terjaga dan terjamin.
“Jangan terlalu ekstrem menghalalkan atau mengharamkan sesuatu perkara itu, bagi peluang dan ruang untuk mereka merasa sebelum ada perkara negatif berlaku,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media Konsert Naga Kramat di Ancasa Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah pemilik nama asal, Ahmad Azhar Othman, 53, dia kesal apabila penganjuran konsert berkenaan dijadikan isu sehingga dikatakan punca kerosakan akhlak rakyat di negeri berkenaan.
“Jangan salahkan Wings yang hanya datang sehari dan buat persembahan di negeri itu, rakyat negeri itu terus itu jadi jah*nam, tidak boleh begitu.
“Ini sebenarnya permainan politik, jangan dengan penganjuran konsert begini dijadikan permainan politik, tidak elok.
“Sebaliknya gunakan kelebihan ahli politik yang ada untuk membantu negeri itu menjadi lebih baik, agar rakyat terjamin.
“Kalau nak cerita tentang masalah yang ada di situ, memang dah sedia ada banyak kes dah dengan pelbagai jenayah, itu yang perlu diambil kira bukan sebab konsert itu, lagipun konsert tersebut sudah ada SOP yang ditetapkan,” tambahnya.
Terdahulu, sebuah parti politik di Kelantan mendakwa penganjuran konsert yang diberi nama Konsert Riuh Sokmo yang berlangsung September lalu, bertentangan dengan dasar “Membangun Bersama Islam” yang dibawa parti berkenaan.
Selain Wings, konsert yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung itu turut membariskan Datuk Ramli Sarip, Kugiran Masdo, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Dalam perkembangan terkini, Wings bakal tampil dalam Konsert Naga Kramat yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 22 Oktober depan.
Tiket konsert mula dijual secara atas talian di www.ticket2u.com.my/nagakramat . Harga tiket mengikut kategori bermula dari RM244 (Bujang Senang), RM274 (Amok), RM364 (Misteri Mimpi Syakila) dan RM574 (Taman Rashidah Utama).
© Astro Awani