Pembuat filem dari Jepun dipenjara tujuh tahun di Myanmar

YANGON, Myanmar – Mahkamah junta di Myanmar menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas seorang pembuat filem Jepun kerana “hasutan” dan “melanggar undang-undang komunikasi elektronik.”

Toru Kubota dijatuhi dua hukuman – tiga tahun untuk hasutan dan tujuh tahun atas pelanggaran berkaitan komunikasi elektronik – berjalan serentak, lapor Agensi Anadolu memetik Kyodo News pada Khamis.
Kubota ditahan pada 30 Julai.

Junta tentera berkata Kubota memasuki negara majoriti Buddha dari negara jiran Thailand menggunakan visa pelancong dan menyertai demonstrasi serta berkomunikasi dengan penunjuk perasaan semasa penggambaran.



Perbicaraan diadakan pada Rabu.

Mahkamah yang bersidang dalam Penjara Insein di Yangon akan mendengar pertuduhan berkaitan imigresen terhadap Kubota Rabu depan.

Dia juga dituduh membuat laporan palsu mengenai penganiayaan terhadap masyarakat Rohingya.
Kubota ialah warga Jepun kedua dihukum penjara di Myanmar.

Pada April tahun lalu, wartawan bebas Yuki Kitazumi ditahan dan didakwa kerana menyebar laporan berita palsu.



Beliau bagaimanapun dibebaskan dan pulang ke negara asalnya sebulan kemudian.

Myanmar, negara di Asia Tenggara, diperintah junta sejak Februari tahun lalu apabila tentera negara itu, yang dikenali sebagai Tatmadaw, menumbangkan kerajaan Liga Demokratik Kebangsaan dan memenjarakan pemimpinnya.

Tindakan itu mendapat kecaman yang meluas.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button