Lebih 3,500 polis ditugaskan sepanjang PRU-15 di Kedah
Alor Setar: Lebih 3,500 daripada 5,139 anggota polis Kontinjen Negeri Kedah ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian berjalan dengan lancar.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihaknya juga akan memohon elemen bantuan daripada Bukit Aman bagi membantu anggota sedia ada di negeri ini.
“Di Kedah, kita ada kekuatan seramai 5,139 anggota tetapi tidak boleh digunakan semua kerana ada tugasan yang lain juga. Hanya lebih 3,500 anggota yang ditugaskan sepanjang PRU nanti selain bantuan tambahan lebih 1,000 anggota dari Bukit Aman.
“Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada Pusat Latihan Polis (PULAPOL), sukarelawan polis dan agensi lain antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Jadi, keseluruhan akan ada lebih 6,000 anggota yang akan terbabit dalam pilihan raya kali ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persiapan Polis Kedah untuk menghadapi PRU-15.