BN Mangsa Musuh Lempar Masalah

Tindakan Mahiaddin Sebabkan Parlimen Dibubar

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata angkara musuh Barisan Nasional (BN) yang melempar masalah, namun BN yang jadi mangsa.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian berikutan semalam Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden PPBM, Mahiaddin Yassin menafikan tindak-tanduk kelompok mereka menyebabkan Perdana Menteri terpaksa membubarkan parlimen.

“Sedangkan Perdana Menteri menegaskan tindakan 12 Menteri bersikap tidak wajar mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri lantikan Baginda Yang di-Pertuan Agong dan mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan yang menyebabkan
Baginda menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.



“Sedangkan perkara ini boleh dibincangkan dalam kabinet tanpa perlu terus kepada Istana Negara dan dihebahkan pula kepada awam. Ternyata tindakan ini adalah niat jahat musuh BN untuk mengaibkan Perdana Menteri dari Barisan Nasional,” katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya, hari ini.

Bidas Ahmad Zahid, di sebalik penafian Mahiaddin Yassin, parti beliau juga menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dan mendedahkan perjanjian persefahaman beliau, sedangkan PPBM sudah ada jawatan Menteri kanan, Menteri-menteri dan jawatan GLC.

“Tuntutan jawatan timbalan perdana menteri tersebut tidak sensitif dengan situasi pemulihan ekonomi negara dan dasar jimat cermat negara. Sebaliknya PPBM asyik memikirkan mengenai jawatan, pangkat dan kedudukan sahaja.



“Tan Sri Mahiaddin pernah mengancam untuk menekan butang menarik sokongan terhadap kepimpinan Ismail Sabri. Kali kedua, apabila secara terbuka Mahiaddin juga selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menyatakan Perdana Menteri gagal menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Sedangkan Beliau sendiri merupakan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pemimpin Bersatu sendiri menteri hal ehwal ekonomi. Malah Mahiaddin Yassin menyarankan agar parlimen dibubarkan atas kegagalan tersebut. Kata beliau lagi perlu ada kerajaan baharu yang lebih cekap.

Namun kata Ahmad Zahid, Mahiaddin cuba menafikan kenyataannya sendiri.



“Tindak-tanduk 12 menteri PN ini punca serta merta yang mencetuskan isu ketidakpercayaan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri lantikan baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Sudah pasti, PM boleh sahaja memecat 12 Menteri tersebut. Namun ini akan membawa krisis yang lebih besar, parah dan memalukan pentadbiran negara. Ia juga akan melibatkan undi tidak percaya dan sebagainya, maka, jalan terbaik untuk berdepan dengan karenah ahli kabinet tidak berdisiplin ini ialah PM pergi mengadap Yang di-Pertuan Agong dan memohon perkenan baginda untuk membubarkan parlimen.”

Katanya, Ini sesuai juga bagi mengembalikan mandat kepada rakyat, yang sebelum ini ramai yang melompat parti, menjawab cabaran Mahiaddin untuk bubar parlimen, dan memastikan kestabilan politik dan pemulihan ekonomi negara tidak terganggu pada masa akan datang.

“Tenyata dalam tempoh tidak sampai lima tahun, akibat ketidakstabilan politik sudah terdapat tiga perdana menteri bertukar ganti. Semoga tragedi politik ini tidak berulang kembali dan perlu diingati selama-lamanya oleh rakyat jelata, sedangkan rakyat sangat mahukan kerajaan yang stabil dan harmoni sesuai dengan titah baginda Yang di-Pertuan Agong.



“Insya-Allah apabila BN mendapat mandat besar dan kembali menerajui kerajaan perkara ini tidak akan berlaku. Hal ini kerana BN adalah pembawa kestabilan dan kemakmuran negara,” katanya lagi.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button