Majoriti CEO jangka ekonomi meleset tahun depan

KUALA LUMPUR: Satu kaji selidik yang dibuat oleh KPMG International mendedahkan bahawa 63 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di rantau Asia Pasifik menjangkakan kemelesetan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Bagaimanapun, lebih separuh atau 55 peratus menjangkakan kemelesetan itu adalah sederhana dan singkat, manakala 58 peratus telah mengambil langkah awal untuk mendepani keadaan tidak menentu akan datang.

Kaji selidik itu turut mendedahkan bahawa 73 peratus CEO yakin dengan daya tahan syarikat untuk berdepan cabaran enam bulan berikutnya, dengan tahap keyakinan sama (71 peratus) terhadap daya tahan negara masing-masing.



Dalam skala lebih besar, 65 peratus CEO yakin dengan prospek pertumbuhan ekonomi global dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Bagi bertindak balas dengan jangkaan kemelesetan, dalam tempoh enam bulan akan datang, 44 peratus CEO merancang untuk membekukan pengambilan pekerja, 43 peratus menguruskan kos dengan menaikkan harga dan 40 peratus akan mengurangkan margin keuntungan.

Lebih membimbangkan, 29 peratus CEO di rantau Asia Pasifik dilapor akan memberhentikan sementara atau mempertimbangkan semula usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), manakala 47 peratus bercadang melakukannya dalam beberapa bulan lagi.

Rakan Kongsi Urusan KPMG Malaysia, Datuk Johan Idris, ketika kerajaan Malaysia dan seluruh dunia berusaha membendung inflasi lebih tinggi dengan kenaikan kadar faedah yang besar, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat terhadap krisis kecairan global.



Beliau berkata, ini bermakna syarikat-syarikat akan semakin berdepan kesukaran untuk membiayai semula hutang kerana bank, menjangkakan kemelesetan, akan menjadi lebih berhati-hati untuk memberikan pembiayaan.

“Tambahan lagi, ketika kecairan menjadi lebih ketat dan kemelesetan menjadi lebih nyata, industri-industri yang tidak lagi mendapat tempat dengan bank disebabkan oleh keutamaan mereka terhadap ESG, akan mendapati sebarang bentuk pembiayaan baharu menjadi sukar, justeru mencetuskan isu modal yang memerlukan perancangan berhati-hati.

“Dalam konteks ini, CEO-CEO perlu memikirkan mengenai pembiayaan jangka pendek dan kaedah untuk menangani harga lebih tinggi dan potensi perbicangan yang sukar bersama penyedia pinjaman masing-masing.

Terdapat juga kemungkinan CEO-CEO perlu melihat sumber modal alternatif untuk meningkatkan peluang mendapatkan pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan.



Tidak mengejutkan apabila kaji selidik KPMG International itu mendapati, 70 peratus daripada CEO melihat ketersediaan modal bagi pelaburan baharu akan memberikan kesan kepada organisasi masing-masing.

Sungguhpun begitu, 61 peratus CEO menyatakan mereka akan memperuntukkan lebih banyak pelaburan modal untuk membeli teknologi baharu, manakala 65 peratus mempertimbangkan perkongsian baharu untuk meneruskan transformasi digital.

Sementara itu, bagi menguruskan kelesuan pandemik, CEO turut menguruskan risiko rantaian bekalan sebagai salah satu bidang tumpuan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Kaji selidik KPMG mendapati, bagi berdepan kemelesetan, 45 peratus daripada CEO merancang untuk mempelbagaikan rantaian bekalan masing-masing, manakala 40 peratus menyasar untuk memindahkan operasi luar negara ke dalam negara atau secara dalaman.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button