Bergaduh di KSAB, polis trafik cuba pertahan diri
ISKANDAR PUTERI: Anggota polis trafik yang terbabit pergaduhan dan dikatakan memukul pemandu treler di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, hanya mahu mempertahankan diri.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata anggota polis trafik itu sudah tampil membuat laporan polis selepas insiden berlaku.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika anggota polis trafik memantau lalu lintas di KSAB sebelum mendapati treler dipandu seorang lelaki berada di lorong kanan yang sepatutnya dikhaskan untuk kenderaan ringan sahaja.
“Pemandu treler itu enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan, malah dia juga mengeluarkan kata-kata kesat, lalu bertindak membuka pintu dan terus menumbuk muka anggota trafik sebanyak dua kali sebelum menendang motosikalnya.
“Berlaku sedikit pergelutan antara mereka dan anggota trafik berkenaan cuba mempertahankan dirinya daripada pemandu terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Rahmat berkata, pada jam 10.20 pagi semalam, pihaknya mendapati terdapat satu video berdurasi 50 saat dimuat naik seorang pengguna TikTok memaparkan seorang pemandu treler yang mendakwa dipukul seorang anggota polis trafik.
Katanya, susulan itu, pihaknya membuat semakan dan mendapati anggota polis trafik berkenaan ada membuat laporan polis, sebelum pihaknya bertindak menahan pemandu treler terbabit.
“Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan pemandu treler berkenaan sudah ditahan. Kami akan mendapatkan perintah tahanan reman ke atasnya hari ini,” katanya.
BHOnline