Cinta bertaut kembali selepas 63 tahun

Temerloh: Selepas 63 tahun berpisah dan gagal dalam empat perkahwinan terdahulu, cinta sepasang warga emas kembali bertaut.

Jodoh menyatukan semula Mahmood Mamat, 84, dan Fatimah Mohd Nor, 80, yang selamat diijabkabulkan pada 16 Oktober lalu.

Kisah itu mendapat perhatian netizen selepas cucu mereka, Noor Anis Najwa Kamaruzaman, 22, memuat naik video serta gambar hari bahagia datuk serta neneknya itu di TikTok.



Rata-rata netizen teruja melihat Mahmood dan Fatimah kembali disatukan walaupun pada usia senja.

Berkongsi kisah sebenar, Noor Anis Najwa berkata, datuk dan neneknya berkahwin pada 1958 yang mana ia adalah perkahwinan kedua mereka.

Katanya, jodoh datuk dan neneknya itu bagaimanapun tidak panjang apabila berpisah setahun kemudian.

“Difahamkan, mereka berpisah kerana Tok Ayah (Mahmood) ke Pahang dan meninggalkan Tok Mek (Fatimah) di Kelantan.



“Tok Ayah dan Tok Mek kemudian membawa haluan masing-masing dan mereka berkahwin lagi dua kali dengan orang lain selepas itu namun akhirnya berpisah juga.

“Baru-baru ini, anak kepada Tok Ayah bergambar dengan Tok Mek dan tunjuk kepadanya gambar berkenaan selepas pulang ke kampung,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Noor Anis Najwa, datuknya kemudian terus menelefon bapanya untuk minta nombor telefon nenek .

“Tok Ayah kemudiannya meluahkan hasrat untuk berkahwin dengan Tok Mek. Tok Mek pun setuju.



“Hasil perbincangan dengan keluarga kedua belah pihak, semuanya bersetuju dan tiada bantahan malah kami semua sepakat membantu membuat persediaan bagi perkahwinan mereka.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan keluarga kini teruja serta dalam persediaan untuk majlis persandingan mereka pada 29 Oktober depan,” katanya.

Noor Anis Najwa berkata, niatnya berkongsi video di TikTok sekadar untuk dijadikan sebagai kenangan.

“Tak sangka pula tular. Alhamdulillah, semua beri komen positif malah mendoakan kebahagian Tok Ayah dan Tok Mek.



“Terima kasih saya ucapkan. Sebagai cucu, saya juga berdoa dan mengharapkan hubungan Tok Ayah dan Tok Mek kekal bahagia hingga ke syurga, dikurniakan kesihatan yang baik serta dapat mengerjakan umrah bersama pada hujung tahun ini,” katanya.

Menurut rekod, Mahmood mempunyai lapan anak hasil empat perkahwinan terdahulu.

Manakala Fatimah memiliki enam anak, salah seorangnya hasil perkahwinan dengan Mahmood.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button