‘Nenek bersyukur sangat’
Hulu Langat: “Nenek sayu orang buatkan nenek rumah, nenek tak mampu nak buat. Nenek rasa macam hidup atas ihsan orang,” luah mangsa banjir, Rohana Mahfodz.
Rohana, 76, meluahkan perasaannya itu ketika diminta berkongsi mengenai perkembangan rumah baharunya di Batu 18, Kampung Jawa di sini, yang dalam pembinaan dan bakal didiaminya tidak lama lagi.
Dia mengakui amat terharu dengan keprihatinan rakyat Malaysia terhadapnya selepas rumah pusaka itu dihanyutkan banjir dalam kejadian pada awal pagi 19 Disember tahun lalu.
Menurutnya, memang banyak sumbangan diterimanya, malah ada individu menyumbang lebih daripada sekali kerana simpati dengan nasibnya yang kini menetap di rumah sementara bersebelahan tapak rumah dihanyutkan itu.
“Ada yang datang dua kali, mungkin mereka tengok dan berasa tak cukup sebab itu tambah (sumbangan).
“Saya bersyukur sangat, tak tau macam mana mahu ucap terima kasih kepada rakyat Malaysia yang hulurkan bantuan. Hanya Allah yang dapat membalasnya.
“Bersyukur juga kepada Allah kerana jentik hati mereka berkongsi rezeki dengan saya sampai boleh tegakkan rumah walaupun (rumah) tak macam dulu,” katanya ketika ditemui.
Bercerita lanjut, Rohana berkata, dia tinggal sendirian di rumah sementara yang dibina bersebelahan tapak rumah lama.
Katanya, rumah sementaranya kini lengkap dengan kemudahan asas termasuk tandas dan bilik tidur diperbuat daripada kontena.
Menurut Rohana, rumah sementara itu juga dibina hasil sumbangan orang ramai dan dia bersyukur kerana sekurang-kurangnya masih ada tempat berteduh.
“Saya tinggal di sini selepas sebulan rumah pusaka dihanyutkan banjir.
“Mulanya berat hati juga kerana tidak pernah didedahkan dengan kontena kerana tidak tahu bagaimana rupanya, macam stor namun syukur alhamdulillah, ia lengkap dengan kemudahan termasuk bilik air.
“Adik-beradik juga beri galakan duduk di sini dan bina rumah baharu mungkin kerana tak sampai hati tengok dan enggan pengakhiran kakak mereka ini hidup terbiar,” katanya.
Ditanya adakah dia masih trauma dan terkenangkan peristiwa banjir yang hampir setahun berlalu itu, Rohana mengakui tidak dapat melupakan detik hitam berkenaan.
Bagaimanapun, dia cuba bangkit dan memandang ke hadapan tanpa terlalu memikirkan peristiwa yang sudah berlalu itu.
“Hari-hari buka pintu rumah tengok (tangga batu peninggalan rumah hanyut dan rumah baru), hati jadi sayu.
Menurut Rohana, dia merancang untuk berpindah masuk ke rumah baharu pada 19 Disember hadapan.
“Perancangannya nak pindah ikut tarikh banjir, hajatnya begitu,” katanya.
Kisah Rohana sebelum ini mendapat perhatian hingga tular di media sosial selepas rumah pusaka didiaminya dihanyutkan banjir dan hanya tinggal tangga dan satu tiang sahaja.
METRO