Man United sanggup rugi jual Maguire
MANCHESTER: Manchester United sedia menjual kaptennya, Harry Maguire pada musim panas tahun depan – tiga tahun selepas perpindahannya ke Old Trafford yang mencatat rekod termahal dunia.
Bek tengah itu bergelut mengulangi prestasinya yang menyebabkan dia dipancing oleh Red Devils pada harga 85 juta pound (RM465.52 juta) pada tahun 2019.
Persembahannya di awal musim ini membuatkan pengendali United, Erik ten Hag menggugurkannya daripada kesebelasan utama.
Pengendali dari Belanda itu dilaporkan bersedia menamatkan khidmat Maguire di Old Trafford menjelang akhir musim ini.
Bekas bos Ajax itu dikatakan melihat rentak perlahan Maguire sebagai satu masalah.
Ten Hag kini lebih cenderung menggunakan khidmat Raphael Varane dan Lisandro Martinez sebagai gandingan utama di bek tengah.
Malah Victor Lindelof juga dikatakan berada dalam pilihan lebih utama berbanding bekas pertahanan Leicester itu.
Maguire digugurkan daripada kesebelasan utama United susulan kekalahan memalukan di tangan Brighton dan Brentford.
Namun dia kembali beraksi bulan lalu ketika kunjungan ke West Ham.
United dilaporkan sanggup melepaskan Maguire pada harga lebih rendah berbanding ketika ditandatangani, tetapi masih mengharapkan tawaran bersesuaian memandangkan kontraknya hanya tamat pada tahun 2025.
Di sebalik episod dukanya bersama kelab, Maguire masih dilihat cemerlang di mata pengendali England, Gareth Southgate yang tetap menyenaraikannya dalam skuad 26 pemain ke Piala Dunia Qatar.
Legenda Red Devils, Rio Ferdinand bagaimanapun tidak merasakan Maguire perlu memulakan permainan apabila bertemu Iran dalam aksi pembukaan Kumpulan B.
“Saya rasa anda memerlukan minit permainan. Tetapi saya rasa Gareth seorang yang setia, dia tahu apa sumbangan Harry Maguire kepadanya.
“Harry Maguire tidak pernah mengecewakannya ketika bersama England, itu tidak dapat dinafikan.
“Jadi saya rasa ia akan menjadi faktor. Cuma saya rasa, untuk kejohanan besar seperti itu, ia sukar bagi seorang pemain yang jarang beraksi.
“Ia berbeza dengan pemain yang baru pulih daripada kecederaan, dia ke Euro 2020 selepas kecederaan dan beraksi dengan baik.
“Tetapi hadir tanpa minit permainan dan rentak, ia memerlukan kerja keras,” kata Ferdinand.
AGENSI