Kerajaan tergantung, sentimen pasaran tidak menentu sementara
KUALA LUMPUR: Sentimen pasaran saham dan mata wang tempatan yang tidak menentu dalam tempoh terdekat dijangka bersifat sementara dan pergerakan seterusnya lebih dipengaruhi perkembangan pasaran global.
Keadaan turun naik yang agak ketara khususnya dalam pasaran saham tempatan pada pagi semalam adalah berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang mana tiada satu parti politik memperoleh jumlah kerusi Parlimen mencukupi untuk membentuk kerajaan, kata penganalisis.
Situasi kerajaan tergantung yang belum pernah berlaku sebelum ini di Malaysia itu telah menjejaskan sentimen pelabur dengan jualan panik pada sesi awal dagangan apabila penanda aras pasaran FBMKLCI menjunam sehingga 21.57 mata atau 1.49 peratus kepada paras terendah harian 1,427.75 dalam 30 minit awal dagangan sesi pagi semalam.
Bagaimanapun indeks kembali stabil untuk ditutup pada 1,447.96, merosot 1.36 mata atau 0.09 peratus.
Sementara dalam pasaran tukaran asing, ringgit juga dibuka rendah dengan menyusut kepada 4.5780/5880 berbanding dolar AS daripada penutup 4.5490/5565 pada Khamis.
Pengarah dan Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof, berkata pihaknya menjangkakan pasaran ekuiti akan bertindak balas negatif terhadap keputusan PRU15 yang menyaksikan indeks penanda aras didagangkan rendah.
Beliau berkata, dilema pembentukan kerajaan pasca PRU15 itu menyebabkan Indeks FBM KLCI didagangkan lebih rendah dan mungkin mencecah paras sokongan psikologinya sebanyak 1,400 mata, berdasarkan pengalaman sebelumnya iaitu pada PRU14.
“Kami mengira pelbagai parti politik sibuk mencuba untuk membentuk gabungan majoriti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Walaupun kita sama-sama berharap bahawa proses ini akan berakhir dengan cepat, namun kami tidak boleh menolak kemungkinan bahawa ia mungkin mengambil masa beberapa hari atau minggu untuk membuat kesimpulan,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Penganalisis RHB Research, Alexander Chia, berkata Malaysia kali ini berdepan situasi yang belum pernah dilaluinya sebelum ini apabila PRU15 berakhir dengan tiadanya gabungan politik berjaya meraih kerusi parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan yang absah.
Beliau berkata, keputusan itu mendatangkan senario kes terburuk kepada pasaran dengan sentimen pelabur mungkin terus kelam apabila pasaran dibuka semula bergantung pada
tempoh lompang kuasa berlaku, kualiti ahli anggota Kabinet, dan majoriti Ahli Parlimen yang dimiliki kerajaan yang akan menentukan kemampuannya untuk memperkenalkan reformasi.
HLIB Research juga berkata, pasaran sudah pasti menyaksikan jualan panik berdasarkan beberapa episod ketidaktentuan politik sebelum ini.
Ia berkata, ‘Langkah Sheraton’ yang mengakibatkan perubahan dalam kerajaan memperlihatkan Indeks FBM KLCI susut 3.2 peratus dalam tempoh satu minggu pada Februari 2020 walaupun ketika itu juga berlaku penularan awal COVID-19.
“Pada 2021, perkembangan yang menyebabkan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri juga menyaksikan penurunan KLCI sebanyak 2.6 peratus dalam hampir sebulan, tetapi kemudiannya pulih 2.2 peratus pada masa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah,” katanya.
Bagi Affin Hwang Investment Bank pula berpandangan, walaupun keputusan PRU15 menambahkan ketidaktentuan pasaran dalam jangka pendek, namun perkembangan persekitaran luaran akan mempunyai kesan yang lebih besar terhadap prestasi pasaran tempatan.
“Kami terus melihat risiko penurunan untuk pasaran berdasarkan perkara ini (persekitaran luaran), memandangkan risiko aliran keluar modal seterusnya berikutan pengukuhan dolar AS.
“Kami kekal ‘Neutral’ dan sasaran akhir tahun FBM KLCI kami sebanyak 1,545 berdasarkan pendapatan harga (PE) sebanyak 15.3 kali,” katanya.
BHOnline