Bapa angkat rayu bantu Nur Iman Madiha ke sekolah
Bukit Mertajam: Kontraktor buntu untuk menghantar anak angkatnya ke sekolah tahun depan berikutan kanak-kanak itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.
Mohd Fahmi Ismail, 48, mengambil Nur Iman Madiha sebagai anak angkatnya sejak enam tahun lalu selepas kanak-kanak itu ditinggalkan ibu bapanya yang juga warga Indonesia ketika berusia sembilan hari.
Menurutnya, kehadiran Nur Iman Madiha amat bermakna dalam hidupnya dan isteri selepas mereka tidak dikurnia cahaya mata dalam tempoh 23 tahun perkahwinan.
“Selain Iman, saya juga mempunyai dua anak angkat lain yang kami menumpang kasih sayang apabila tiada rezeki untuk mempunyai anak sendiri.
“Bagaimanapun, saya kini buntu apabila memikirkan Iman tidak dapat didaftarkan memasuki sekolah tahun depan kerana tidak mempunyai sijil kelahiran.
“Iman ditinggalkan bapanya kepada saya tanpa sebarang dokumen dan bapanya ketika itu memberitahu hanya mahu pulang sementara ke Indonesia untuk bawa isterinya (ibu Iman) berubat atas masalah kesihatan.
“Namun hingga kini mereka tidak muncul dan saya membuat laporan polis bagi memperoleh hak jagaan ke atas Iman,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mohd Fahmi berkata, setiap kali dia mahu mendaftarkan Nur Iman Madiha di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk sijil kelahiran, proses itu sukar dilaksana kerana memerlukan waris sebenar, memandangkan tiada dokumen sokongan lain.
“Sudah beberapa kali saya pergi ke JPN untuk urusan ini dan sediakan laporan polis termasuk dokumen pengambilan anak angkat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi mereka tetap mahu waris Iman tampil.
“Bapa Iman dulu bekerja kontrak dengan saya dan saya mengenali ramai kenalannya yang tinggal di negara ini serta gunakan banyak cara untuk mencarinya tetapi gagal.
“Untuk cari di Indonesia pula agak sukar kerana negara itu besar, malah saya hanya tahu bapa Iman berasal dari Jawa dan ibu di Medan, yang bukannya daerah kecil,” katanya.
Bapa penyayang itu berharap ada pihak yang dapat membantunya menyelesaikan masalah itu demi masa depan Nur Iman Madiha dan mahukan dia menerima pendidikan berhak diperolehnya.
Ketika ini kanak-kanak menerima pendidikan awal di tadika swasta.
METRO