Nekad kahwini dua adik kembar
New Delhi: Tindakan seorang lelaki India mengahwini adik beradik kembar membawa padah apabila bakal berdepan penjara tujuh tahun atas dakwaan mengahwini dua wanita serentak.
Keputusan Atul Uttam Autade, yang mengendalikan agensi pelancongan di Mumbai, mengahwini Rinki dan Pinki Padgaonkar dalam satu majlis besar di Solapur di Maharashtra, Jumaat lalu.
Perkahwinan itu bukan hanya menarik perhatian masyarakat setempat, malah polis.
Polis melancarkan siasatan selepas video perkahwinan berkenaan tular di media sosial.
Pegawai kanan polis, Shirish Sardeshpande mengesahkan penahanan suspek yang didakwa atas tuduhan bigami dan berdepan hukuman penjara tujuh tahun.
“Kertas siasatan dibuka di bawah IPC Seksyen 494 (berkahwin satu lagi apabila pasangan masih hidup) kerana mengahwini saudara kembar bersama pada 2 Disember,” katanya kepada agensi berita ANI.
Sementara itu, Suruhanjaya Wanita Kebangsaan dan badan wanita Maharashtra juga menggesa tindakan diambil terhadap ketiga-tiga pengantin itu.
Menurut laporan yang memetik ahli keluarga mereka, Awtade dan kembar terbabit mengenali antara satu sama lain sejak masih kecil.
Katanya, Awtade semakin rapat dengan kedua-dua beradik itu apabila mereka membawa ibu ke hospital dengan keretanya.
“Kembar itu tinggal bersama ibu mereka selepas kematian bapa.
“Mereka menjalinkan hubungan dengan Atul yang memutuskan untuk mengahwini mereka berdua,” katanya.
Rinki dan Pinki yang berkerjaya sebagai jurutera teknologi maklumat dilihat tersenyum sambil mengapit Atul dalam rakaman foto dan video perkahwinan.
Adik beradik itu memakai sari biru, merah dan perhiasan emas sama, malah keluarga juga tidak membantah keputusan itu.
METRO