Dr Farrah: dulu gimnas, kini Prof Madya

KUALA LUMPUR, 27 Mei — Bekas ratu gimnas berirama negara Dr Farrah-Hani Imran mencipta sejarah apabila muncul atlet pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang perubatan, sekali gus gimnas pertama mendapat pengiktirafan tertinggi berkenaan.

Ketua Pembedahan Plastik, Unit Kebakaran dan Penjagaan Luka, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) itu menerima hadiah istimewa sempena sambutan Syawal pada 22 Mei selepas 14 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Ini kali pertama bekas atlet negara menerima pengiktirafan sebagai Profesor Madya pembedahan, dan bekas gimnas negara pertama sebagai Profesor Madya dalam apa-apa bidang. Ini membuktikan bahawa sukan penting dalam membina watak dan membentuk individu mahir dalam pelbagai bidang, juga menjadi aset di tempat kerja.



“Pendorong utama saya adalah keluarga – ibu Amy Imran (dikenali sebagai Sister Amy Imran), abang Dr Amar Imran dan suami Dr Enda Kelly,” kata Dr Farrah, gimnas pertama Malaysia menyertai Kejohanan Dunia di Alicante, Sepanyol pada 1993, kepada Bernama.

Walaupun tanggungjawab bertambah dengan peranan baharu dan ketika negara berdepan wabak COVID-19, Naib presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) itu berharap pengiktirafan yang diberikan dapat memperkukuhkan pendidikan, pemerkasaan dan kerjasama antara sukan dan akademik, terutama dalam aspek kekuatan mental, kawalan doping dan penjagaan kesihatan.

Ditanya mengenai andaian skeptikal bahawa sukan menjadi penghalang seseorang untuk berkerjaya,  gimnas berusia 43 tahun itu berkata sukan ibarat alat dan medan mengenalpasti karakter seseorang serta peluang untuk memperbaiki diri kepada versi lebih baik.

“Konsep utama adalah bukan hanya mengenai kemenangan, sama ada dalam bilik darjah atau di gelanggang, ini adalah mengenai sikap dan watak semata-mata. Memahami apa yang mendorong anda, memahami tanggungjawab kepada pasukan dan memberikan yang terbaik.



“Sukan mengajar bagaimana untuk menjadi juara tapi lebih penting, ia mengajar bagaimana menangani kekalahan, termasuk mengetahui bila masa untuk berundur dan membiarkan orang lain bersinar, menyedari hakikat bahawa ia bukan hanya tentang diri kita sahaja,” katanya.

Dr Farrah adalah graduan daripada Royal College of Surgeons, Ireland (RCSI) pada tahun 2002 dan mendapat Ijazah Sarjana Pembedahan (Pembedahan Plastik) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2010.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button