Kem latihan pusat RTT di Bukit Jalil ditunda kepada 8 Jun

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Kem Latihan Pusat Program Road To Tokyo (RTT) 2020 di Bandar Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil, di sini yang sepatutnya bermula pada 1 Jun ini, ditunda kepada 8 Jun.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail  berkata pindaan berkenaan adalah bagi membolehkan Casa 1 yang akan digunakan sebagai penginapan rasmi, perlu menjalani proses nyah kuman setelah ia digunakan sebagai salah satu Pusat Kuarantin COVID-19 oleh pihak Majlis Keselamatan Negara yang berakhir hari ini.

Ahmad Shapawi memaklumkan ia selaras dengan saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Katanya skuad badminton dan skuad pelayaran negara pula tetap akan memulakan latihan persiapan RTT mengikut tarikh asal iaitu pada 1 Jun ini masing-masing di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dan Pusat Latihan Perahu Layar di Langkawi.

“Semua yang terlibat dengan Kem Latihan Pusat ini akan menjalani beberapa proses saringan sebaik melapor diri seperti menjalani ujian swab pada hari pertama pendaftaran, menjalani kuarantin kendiri di bilik penginapan dari hari pertama sehingga keputusan ujian diperoleh pada hari kedua atau ketiga selepas ujian.

Ketiga ialah menjalani ujian swab pada hari kelima (prasimptom) dan ujian swab hari ke-13 (tanpa simptom),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shapawi berkata hanya 207 orang melibatkan atlet, jurulatih, atlet sparing, pengurus sukan, anggota sokongan serta pegawai khidmat sokongan sains dan perubatan sukan akan terlibat dalam Kem Latihan Pusat itu berbanding jangkaan asal iaitu 265 orang, yang termasuk anggota sokongan (anggota keselamatan, pembersihan dan pemandu) seramai 52 orang bagi menyediakan perkhidmatan secara berkala dari luar kem berkenaan.



Beliau berkata dua atlet para negara dari Sabah, iaitu Brenda Anelia Larry (para renang) dan Wong Kar Gee (para olahraga) serta tiga jurulatih paralimpik, diberi pengecualian untuk meneruskan latihan bersendirian di negeri berkenaan kerana keadaan mereka yang memerlukan perhatian sepenuh masa daripada keluarga, serta boleh menjalani latihan spesifik mengikut sukan masing-masing.

Ahmad Shapawi mendedahkan seorang atlet para menembak telah menarik diri daripada program RTT kerana ranking semasa tidak meletakkannya dalam kedudukan terbaik untuk meraih slot ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

 Sebanyak 146 atlet dan pegawai sukan serta anggota sukan akan diletakkan di Bandar Sukan Kuala Lumpur, dan sukan-sukan terlibat adalah akuatik (terjun dan renang), gimnastik (artistik), memanah dan karate.

Atlet paralimpik yang terlibat dengan kem latihan RTT di Bukit Jalil pula melibatkan sukan renang,  memanah, berbasikal, olahraga, badminton, boccia, powerlifting, ping pong dan tenis berkerusi roda.

Sejumlah 37 orang termasuk sembilan atlet (lapan atlet normal dan satu atlet para) di bawah Program RTT akan terlibat dengan kem latihan di Akademi Badminton Malaysia, manakala 24 orang terdiri daripada atlet, jurulatih dan anggota sokongan akan terlibat dengan kem latihan di Pusat Latihan Perahu Layar, Langkawi.

— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker