Jepun sasar kejuaraan Piala Asia kelima
Narita, Jepun: Skuad Jepun melupakan seketika kekecewaan di Piala Dunia dan memberi tumpuan untuk menjadi juara Asia buat kali kelima kata kaptennya, Maya Yoshida selepas pasukan itu kembali ke tanah air mereka.
Skuad Samurai Biru tersingkir daripada Piala Dunia menerusi penentuan penalti dengan Croatia dalam saingan 16 terbaik seterusnya menghalang mereka untuk menempatkan diri buat pertama kali ke saingan suku akhir.
Begitupun, kekalahan itu tidak menghalang ratusan peminat pergi ke lapangan terbang dekat Tokyo untuk meraikan kepulangan wira buat pemain dan jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu dari Qatar.
“Kami tidak akan berhenti di sini. Kami meletakkan sasaran untuk menjadi yang terbaik di Asia.
“Perjuangan kami akan diteruskan. Selagi kami terus bermain bola sepak, kami harus berjuang,” kata Yoshida.
Piala Asia akan berlangsung di Qatar selepas tuan rumah sebelum ini China menarik diri kerana dasar anti-Covid yang ketat.
Kejohanan itu dijadualkan berlangsung pada Jun dan Julai 2023 tetapi ditangguhkan sehingga awal 2024 untuk mengelak musim panas di Qatar.
Jepun memenangi kejuaraan di empat acara Piala Asia sebelum ini dengan kali terakhir Qatar menjadi tuan rumah kejohanan pada 2011.
AFP