Padah berhimpun dan melepak di Pantai Lido, lapan individu dikompaun

JOHOR BAHRU, 28 Mei  — Padah berhimpun dan melepak di tempat awam, seramai lapan individu dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di tepi Pantai Lido, di sini, dua hari lepas.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Polis Daerah Johor Bahru Selatan, sekumpulan lelaki berkenaan ditemui sepasukan anggota polis yang ketika itu sedang melakukan pemantauan di sekitar kawasan berkenaan, pada pukul 6.30 petang.

Mereka didapati turut meletakkan kenderaan masing-masing di bahu jalan, di tepi pantai berkenaan.

“Hasil soal siasat awal mendapati, kesemua mereka gagal memberi alasan yang munasabah semasa ditahan dan gagal mematuhi arahan PKPB.



“Mereka mengaku hanya bersiar-siar dan memberi alasan duduk lepak di tepi pantai tersebut mengambil angin,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, kesemua individu berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Daerah Johor Bahru Selatan untuk dikompaun, kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan).

“Setelah selesai urusan kompaun, kesemua Orang Kena Kompaun (OKK) telah diarahkan pulang ke rumah masing-masing.

“Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi SOP yang digariskan dalam PKPB,” kata pihak Polis Daerah Johor Bahru Selatan sambil menambah rondaan dan pemantauan juga akan dipertingkatkan iaitu di kawasan taman rekreasi dan lokasi tumpuan orang ramai bagi mengelakkan perhimpunan, sebagai usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button