Tiga beradik dikhuatiri lemas di Sungai Terengganu

KUALA BERANG, 27 Mei  — Tiga beradik dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Terengganu, Kampung Kuala Telemong di sini, kira-kira 6 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Said berkata mereka dikenal pasti sebagai Umar Iskandar Mohd, 21 dan dua adiknya Khairil Firdaus, 17 dan Khalif Naim, 16.

“Kejadian disedari kira-kira  6.30 petang oleh empat pemancing di seberang sungai yang mendengar jeritan meminta tolong daripada seorang mangsa.

“Kumpulan pemancing itu kemudian bergegas ke tempat kejadian dengan menaiki motosikal dan tiba kira-kira 10 minit kemudian namun mendapati kesemua mangsa telah hilang daripada penglihatan. Mereka bertindak memaklumkan kejadian kepada penduduk kampung dan polis,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi pencarian dimulakan malam ini melibatkan pencarian di permukaan air menggunakan bot, disertai 15 anggota polis, 18 anggota bomba dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam.

Mohd Adli berkata siasatan awal mendapati rumah mangsa terletak hanya kira-kira 200 meter dari sungai tersebut.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *