Wanita mengaku tidak bersalah terima wang hasil jual bayi
Georgetown: Bekas guru tuisyen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan penggubahan wang haram hasil daripada aktiviti penjualan bayi, tahun lalu.
Tertuduh, Jamaliah Ahmad, 62, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa menerima wang tunai berjumlah RM12,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di lobi sebuah hotel di Jalan Penang pada 7 malam, 15 Disember 2021.
Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd Jeffery Ong, manakala tertuduh diwakili peguam, Md Yusof Md Idris.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap 1 hari bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak boleh mengganggu saksi.
Kes disebut semula 13 Januari 2023 untuk penyerahan dokumen.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu didakwa telah menerima seorang bayi perempuan daripada seorang wanita warga Indonesia untuk dijadikan anak angkat pada Disember 2021.
Dia dikatakan telah mengiklankan dalam laman Facebook, ‘Group Pencarian Anak Angkat’ yang biasanya disertai pasangan yang ingin mengambil anak angkat, dan pada 15 Disember 2021, wanita itu dikatakan menerima wang tunai RM12,000 daripada suami isteri dari Terengganu yang mahu mengambil bayi itu.
METRO