Penduduk resah semua jalan masuk ke kampung ditenggelami banjir

RANTAU PANJANG: Sebanyak 157 mangsa banjir daripada 53 keluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Kampung Putat Tujuh, di sini, resah apabila semua jalan masuk ke penempatan mereka kini mula digenangi banjir.

Seorang mangsa, Ismail Taib, 51, berkata satu-satunya jalan yang tinggal untuk masuk ke kampungnya itu sudah dinaiki air sejak pagi semalam dan jika paras air terus bertambah, biasanya hanya kenderaan berat atau sampan saja yang boleh digunakan untuk ke penempatan berkenaan.

Katanya, terdapat tiga jalan utama ke kampung terbabit, namun sejak lima hari lalu dua laluan sudah digenangi air dan hanya tinggal satu jalan saja, tetapi turut ditenggelami air pagi semalam.



“Jika semua laluan tidak boleh diakses, hanya bot atau sampan boleh digunakan untuk kami keluar. Selain itu, kami perlu meredah air menggunakan laluan lain termasuk melalui kebun getah dan hutan.

“Bagaimanapun, kami bersyukur kerana bantuan makanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tetap sampai ke PPS ini selepas pihak JKM menggunakan bot untuk menghantar ke sini.

“Pada Februari lalu, kami terkepung hampir dua minggu di sini kerana air tidak surut, namun bersyukur tiada seberang insiden tidak diingini berlaku, selain semua mangsa membantu antara satu sama lain,” katanya.

Semalam, mangsa di PPS Kampung Putat Tujuh menerima kunjungan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan yang turut dihadiri Pengarahnya, Jainal @ Zainal Madasin.



Seorang lagi mangsa, Aresak Halim, 50, berkata hanya penduduk yang benar-benar mahir boleh mengemudi bot atau perahu untuk keluar jika mereka terperangkap kerana laluan agak mencabar.

“Malah, bantuan makanan sendiri dibawa masuk dengan dibantu wakil penduduk tempatan yang tahu jalan selamat untuk dilalui. Biasanya, apabila banjir besar, semua laluan utama dinaiki air dengan arus agak deras dan ia membahayakan.

“Saya berharap banjir kali ini segera pulih supaya kami dapat kembali ke rumah masing-masing,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button