Angelina Jolie tamatkan khidmat dengan UNHCR
GENEVA: Pelakon Hollywood, Angelina Jolie akan berhenti daripada peranannya sebagai utusan khas untuk agensi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tetapi akan kekal sebagai aktivis kemanusiaan, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Jolie, yang sudah menjalankan lebih 60 tugasan di lapangan selama 21 tahun bersama UNHCR, menyatakan mahu terus bekerja dengan pelarian di luar badan global itu.
“Saya akan terus menjalankan peranan saya pada tahun-tahun akan datang untuk menyokong pelarian dan orang lain yang berpindah.
“Selepas 20 tahun bekerja dalam sistem PBB, saya rasa sudah tiba masanya untuk saya bekerja dalam ruang lebih besar, membabitkan diri secara langsung dengan pelarian dan organisasi tempatan serta menyokong advokasi mereka untuk penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan pengumuman pemergiannya itu.
Jolie sudah menjadi utusan khas UNHCR sejak 2012.
Tahun ini, dia melawat Yaman dan Ukraine untuk bertemu dengan orang yang terpaksa berpindah.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk pelarian, Filippo Grandi mengucapkan terima kasih atas khidmat, komitmen dan perbezaan yang dilakukan Jolie untuk pelarian dan orang yang terpaksa melarikan diri.
“Selepas sekian lama bersama UNHCR, saya menghargai keinginannya untuk usaha lebih besar dan menyokong keputusannya.
“Saya tahu membantu pelarian akan kekal dekat di hatinya dan saya pasti dia akan membawa semangat dan perhatian yang sama kepada portfolio kemanusiaan yang lebih luas,” katanya.
UNHCR menganggarkan tidak pernah ada begitu ramai orang yang dipaksa keluar dari rumah mereka oleh keganasan, konflik dan penganiayaan.
Ia menganggarkan bahawa lebih daripada 100 juta orang kini berpindah di seluruh dunia.
REUTERS