Zidane calon utama ganti Tite
PARIS: Zinedine Zidane antara calon yang dipertimbangkan untuk mengisi jawatan pengendali Brazil, lapor media Perancis.
Zidane kini tidak membimbing mana-mana pasukan selepas meninggalkan Real Madrid pada Mei 2021 dan dia dikaitkan dengan beberapa pasukan, termasuk pasukan kebangsaan Perancis serta Manchester United sebelum pelantikan Erik ten Hag.
Bekas pemain tengah Real dan Perancis berusia 50 tahun itu kini dianggap sebagai pengganti terbaik Tite, lapor akhbar L’Equipe.
Menurut akhbar berkenaan, Konfederasi Bolasepak Brazil berharap dapat melantik pengendali dari luar negara itu selepas Tite meletak jawatan susulan pasukannya tersingkir di suku akhir Piala Dunia 2022.
Mauricio Pochettino, Thomas Tuchel atau Rafael Benitez antara calon lain yang dikaitkan untuk kerusi panas itu.
Zidane turut dianggap sebagai pengganti Didier Deschamps tetapi pengendali Perancis itu dijangka akan terus mempertahankan jawatannya.
Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) memberi isyarat yang dia akan berbincang dengan Deschamps dalam masa terdekat bagi melanjutkan kontraknya.
Deschamps, yang memenangi Piala Dunia untuk Perancis sebagai pemain pada tahun 1998 dan pengendali pada tahun 2018, membimbing Les Bleus sejak tahun 2012.
Presiden FFF, Noel Le Graet menegaskan, dia mahu pengendali 54 tahun itu terus kekal membawa Perancis sehingga Piala Dunia 2030.
Sekiranya ia menjadi kenyataan, Zidane mungkin terpaksa kembali membimbing kelab.
Zidane memenangi tiga Liga Juara-Juara Eropah berturut-turut sebagai pengendali Real Madrid dari musim 2015-16 sehingga 2017-18, dan turut mengungguli La Liga pada musim 2016-17 serta 2019-20.
Bekas pemenang Piala Dunia itu lebih cenderung menyertai liga yang dikenalinya seperti Serie A atau La Liga, berbanding cabaran baharu di Liga Perdana Inggeris.
Antara kelab yang menjadi sasarannya ialah Juventus, namun kelab Itali itu belum mempunyai kekosongan untuknya.
AGENSI