100 pasangan pengantin asnaf, mualaf diraikan di Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan meraikan 100 pasangan pengantin kalangan asnaf dan mualaf sempena Karnival MAIWP 2023, yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 28 dan 28 Januari ini.
Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar, berkata Majlis Walimatul Urus Perdana MAIWP itu adalah tarikan utama karnival, yang diharap dapat memperkenalkan lagi peranan MAIWP kepada masyarakat.
Beliau berkata, selain diraikan pada majlis yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setiap pasangan juga menerima sepersalinan pakaian pengantin dan sumbangan wang tunai RM2,000 seorang.
Selain itu, katanya, Karnival MAIWP 2023 dimeriahkan dengan Karnival Usahawan dan Pendidikan, yang membabitkan 100 gerai jualan oleh usahawan asnaf, pempengaruh serta selebriti.
“Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli untuk menyempurnakan karnival ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Karnival MAIWP 2023 dianjurkan dengan kerjasama Naurah Care Malaysia, yang turut membawakan persembahan kumpulan nasyid, antaranya Raihan, Rabbani, Inteam, Aydan dan Nada Murni 2.
Mohd Daud berkata, pada karnival sama, MAIWP juga akan menyampaikan anugerah kepada Ikon Usahawan Asnaf dan Ikon Pendidikan Asnaf MAIWP.
“Pembabitan masyarakat terutama golongan asnaf serta B40 adalah penting dan kita berperanan mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan tegar supaya mereka lebih berdaya saing,” katanya.
Di samping itu, katanya, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) juga akan menganjurkan MAIWP Run bagi memeriahkan lagi karnival dengan sasaran penyertaan 10,000 orang.
“Kita mengalu-alukan pembayar zakat, golongan kurang upaya (OKU), penghuni rumah perlindungan dan maahad tahfiz, anggota badan beruniform serta orang awam untuk menyertai MAIWP Run ini.
“Yuran penyertaan hanya RM10 seorang dan setiap peserta akan menerima sehelai baju serta medal sebagai tanda kenangan,” katanya.
Beliau berkata, peserta boleh memilih untuk berjalan secara santai atau berlari dalam dua kategori laluan sejauh tiga kilometer atau lima kilometer yang akan melalui Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Ismail, Jalan Dang Wangi dan Jalan Tuanku Abdul Rahman,” katanya.
BHOnline