Hubungan terlarang di balik tirai besi
London: Tiga wadar wanita dijatuhi hukuman penjara selepas didapati menjalin hubungan sulit dengan banduan di penjara terbesar di United Kingdom (UK).
Mirror UK melaporkan, mereka adalah Jennifer Gavan, 27, Ayshea Gunn, 27, dan Emily Watson, 26, yang bertugas di penjara Berwyn, Wrexham, Wales.
Gavan mengaku bersalah melakukan perbuatan itu antara April dan Julai 2020 di penjara Berwyn, lapor Birmingham Live.
Dia dituduh menjalin hubungan yang tidak sepatutnya dengan banduan, Alex Coxon yang kini berusia 25 tahun.
Gavan juga dituduh menerima suapan 150 pound sterling (kira-kira RM793) untuk ‘menyeludup’ telefon bimbit ke dalam penjara, dan berkomunikasi dengan lelaki itu melalui telefon yang dipegang secara haram.
Pada 2019, Gunn mula rapat dengan Khuram Razaq, 29, yang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun kerana konspirasi rompakan.
Pada tahun yang sama, Watson dipenjarakan kerana melakukan seks dengan banduan di dalam selnya pada Hari Natal.
Watson menjalin hubungan banduan John McGee, yang dipenjara lapan tahun dan berdepan hukuman mati kerana memandu berbahaya.
Jurucakap Perkhidmatan Penjara berkata, majoriti kakitangan bekerja keras dan berdedikasi dan pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menghukum mereka yang melanggar peraturan.
“Lebih 500 anggota kakitangan di penjara Berwyn menjalankan latihan pencegahan rasuah dalam tempoh 18 bulan lalu dan keselamatan kami dipertingkatkan,” katanya.
Rekod kakitangan penjara juga disemak setiap 10 tahun, dan perkhidmatan itu menjalankan pemeriksaan media sosial untuk beberapa jawatan berisiko tinggi seperti pegawai penjara.
Keselamatan pintu pagar dipertingkatkan juga diperkenalkan dalam usaha menghalang wadar daripada menyeludup barang terlarang.
Perkhidmatan Penjara berkata, pemeriksaan bebas terkini ke atas penjara Berwyn di Wales mendapati tahap keselamatan adalah baik.
METRO