Presiden FAM buat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri
PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra Putrajaya di sini, sebentar tadi.
Dalam pertemuan sejam itu, Hamidin berkongsi agenda terkini hala tuju industri bola sepak tempatan terutama persiapan skuad Harimau Malaya yang akan berdepan Thailand pada aksi separuh akhir satu Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.
Hamidin juga memaklumkan persiapan skuad kebangsaan untuk menghadapi Piala Asia pada Januari 2024, yang mana Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon layak secara merit pada Jun tahun lalu selepas tempoh 43 tahun.
“Saya juga menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar atas kesudian Perdana Menteri meluangkan masa membincangkan beberapa agenda penting bola sepak negara terutama perlawanan utama membabitkan skuad kebangsaan, Harimau Malaya.
“Pertemuan ini amat bermakna bagi kami dalam merencana hala tuju masa depan bola sepak negara terutama menjelang perlawanan penting Harimau Malaya, esok.
“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Anwar, kerana memberi saya ruang berkongsi visi dan misi FAM, F:30 serta perkembangan pembinaan ibu pejabat baharu FAM dan pusat latihan kebangsaan di Putrajaya,” katanya.
Hamidin juga berbesar hati dengan Anwar yang pernah menyandang jawatan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan pada 1983, menyuarakan sokongan padu beliau buat bola sepak negara.
Beliau yang diiringi Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Hj Rahman turut memaklumkan mengenai perkembangan terkini bola sepak wanita, futsal, bola sepak pantai dan pembangunan pengadil.
BHOnline