Wednesday kejutkan Newcastle, Liverpool masih selamat

LONDON: Pasukan antara teratas Liga Perdana Inggeris (EPL), Newcastle tersingkir mengejut pada Piala FA di tangan Sheffield Wednesday dan juara bertahan, Liverpool bernasib baik seri berdepan Wolves manakala Nottingham Forest dan Bournemouth tewas pada aksi pusingan ketiga awal pagi tadi.

Selain itu, Ryan Reynolds dan Rob McElhenney, aktor Hollywood yang juga pemilik bersama Wrexham, mengetuai sambutan di media sosial selepas pasukan mereka yang bertaraf bukan liga menang mengejut 4-3 berdepan kelab divisyen dua, Coventry.

Bagaimanapun Wednesday, yang berkedudukan kedua League One, mencuri tumpuan dengan kemenangan 2-1 di Hillsborough berdepan Newcastle yang menghuni tangga ketiga EPL.



Skuad kendalian Eddie Howe tidak tewas dalam 15 perlawanan namun Wednesday kini tidak tewas dalam 10 aksi selepas dua gol Josh Windass mengejutkan Magpies.

Wednesday mendahului pada minit ke-52 apabila Windass, menyempurnakan hantaran Dennis Adeniran.

Windass meledak gol kedua 13 minit kemudian selepas tenang menyudahkan hantaran Michael Smith.

Newcastle mengurangkan defisit pada minit ke-68 apabila Bruno Guimaraes meledak dari jarak dekat namun Chris Wood mensia-siakan peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan apabila sepakannya meliar.



“Ia keputusan yang mengecewakan buat kami. Kami sedar kami tidak ada skuad yang benar-benar bagus dalam EPL,” kata Howe.

Di Anfield, minggu sukar buat Liverpool yang bermula dengan aksi EPL menentang Brentford, disudahkan dengan seri 2-2 berdepan Wolves.

Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker membuat kesilapan apabila hantarannya disambar Goncalo Guedes yang meledak gol pembukaan Wolves pada minit ke-26.



Darwin Nunez mencipta voli mengatasi Matija Sarkic untuk gol penyamaan sebelum tamat babak pertama dan Mohamed Salah menyumbat gol kedua pada minit ke-52 bagi memberikan kelebihan buat Liverpool.

Bagaimanapun Reds, yang memberikan penampilan pertama buat penyerang Belanda, Cody Gakpo yang berhijrah dari PSV Eindhoven, kembali terikat pada minit ke-57 hasil jaringan Hwang Hee-chan.

Ia boleh menjadi lebih buruk buat Liverpool namun gol Toti Gomes tidak dibenarkan kerana ofsaid pada minit terakhir dan Reds terselamat untuk perlawanan ulangan.

“Gol pertama itu sepatutnya tidak boleh berlaku, tapi kita semua tahu berapa banyak Ali menyelamatkan barisan belakang kami,” kata bos Liverpool, Jurgen Klopp.



“Saya tidak pasti mengenai bola mereka yang tidak dibenarkan. Kami ada gambar yang ia tampak ofsaid, tapi saya tidak faham kenapa mereka marah mengenainya.”

Pengurus Wolves, Julen Lopetegui berang dengan keputusan itu dan mendakwa gol jaringan Salah sepatutnya tidak diberikan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button