Potter yakin jawatan selamat

London: Kekalahan keenam Chelsea dalam aksi Liga Perdana (EPL) musim ini meletakkan mereka di tangga kesepuluh tetapi pengurus Graham Potter berasakan dia terus mendapat sokongan pemain dan pemilik kelab.

Pretasi Chelsea merosot sejak beberapa minggu lalu dan kekalahan 1-0 kepada Manchester City kelmarin yang keempat dalam enam aksi liga terakhir.

Kelab London itu turut tersingkir daripada Piala Liga November lalu yang menjejaskan harapan meraih trofi musim ini walaupun masih berpeluang di Liga Juara-Juara apabila menentang Borussia Dortmund pada saingan 16 terakhir.



Potter mengambil contoh Pep Guardiola, Juergen Klopp dan Mikel Arteta di City, Liverpool dan Arsenal yang gagal meraih sebarang trofi pada musim pertama mengendalikan kelab.

“Saya fikir Pep dalam situasi itu sebelum mereka menang segalanya manakala Mikel dan Juergen turut memerlukan masa,” kata Potter.

“Saya tahu kemampuan dan kualiti saya ada. Saya mendapat sokongan penuh daripada pemilik dan pemain serta staf di sini. Anda boleh lihat , ia fantastik.



“Akan sentiasa ada orang yang meraguinya tetapi saya di sini untuk meyakinkan mereka. Saya ke sini menjalankan tugas dan jika itu meyakinkan mereka, ia sudah cukup baik.”

Di bawah pemilikan Roman Abramovich sebelum ini, Chelsea menggunakan strategi lebih ekstrem apabila gemar melantik dan memecat jurulatih di Stamford Bridge.

Namun Potter berkata pendekatan itu berubah sejak konsortium diketuai Todd Boehly dari Amerika Syarikat mengambil alih kelab London itu dengan harga 4.25 bilion pound (RM22 bilion) tahun lalu.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button