Mayat warga Indonesia ditemukan tiga hari selepas dipercayai dihanyutkan kepala air

KUANTAN, 2 Jun — Mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan di Sungai Pertang di Raub semalam, tiga hari selepas rumah kongsi yang didiaminya bersama seorang lagi rakan senegaranya dipercayai dihanyutkan kepala air ekoran hujan lebat pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Raub Supt Kama Azural Mohamed berkata mayat mangsa, Muhammed Junaidi, 21, ditemukan pada 4.15 petang dalam keadaan sebahagian tubuh ditimbus pasir sungai kira-kira empat kilometer dari lokasi rumah kongsi dalam sebuah kebun durian berhampiran Lata Berembun, Raub.

Beliau berkata abang dan bapa saudara mangsa yang berada di lokasi kejadian telah mengesahkan identiti mangsa. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hari ini bagi mencari seorang lagi mangsa yang hanya dikenali sebagai Wahyuddin, 25, yang difahamkan turut mendiami rumah kongsi tersebut.



“Kehilangan dua mangsa hanya disedari oleh pemilik kebun durian itu yang datang memeriksa keadaan pekerjanya pada 10.20 pagi Sabtu dan mendapati rumah kongsi yang dibina di seberang sungai dalam kebun durian itu telah tiada selain mendakwa gagal mencari mereka.

“Siasatan awal mempercayai rumah kongsi itu dihanyutkan kepala air mengambil kira faktor hujan lebat pada malam sebelumnya selain keadaan lebar sungai yang semakin besar dan terdapat banyak kesan hakisan tanah di tebing sungai.

“Selain itu, terdapat banyak tinggalan kayu besar dan sampah di sekitar tapak rumah kongsi tersebut dan kawasan kebun durian berhampiran juga dinaiki air,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kama Azural berkata operasi SAR yang bermula sejak Sabtu lepas, terpaksa dihentikan beberapa kali ekoran hujan dan keadaan sekitar yang gelap, namun secara keseluruhannya, pasukan itu telah menyusuri sungai sehingga ke Lembah Temir sejauh hampir lima kilometer.



Operasi SAR itu, katanya, disertai dua pegawai dan 27 anggota daripada polis, bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta dibantu tiga penduduk kampung.

Kama Azural berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat.

— BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button