Pegawai Khas TPM meninggal dunia
KUALA LUMPUR: Pegawai Khas Hal Ehwal Kaum India kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ramesh Rao Krishnan Naidu meninggal dunia pagi tadi.
Perkara itu disahkan oleh Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Dengan perasaan sedih dan dukacita, saya dan seluruh warga Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ingin menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ramesh Rao, pegawai khas yang meninggal dunia pada awal pagi tadi.
“Semoga ahli keluarga, kenalan dan rakan taulan mendiang tetap sabar dan tabah dalam menghadapi dugaan kehilangan insan yang mereka sayangi.
“Saya amat menghargai khidmat bakti dan jasa mendiang kepada masyarakat dan negara sebelum dan semasa beliau berkhidmat,” kata Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah melalui satu kenyataan, sebentar tadi.
Difahamkan, mendiang yang juga Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia meninggal dunia akibat serangan jantung.
Ramesh dikenali sebagai individu yang aktif memperjuangkan kebajikan masyarakat di negara ini, terutamanya kaum India.
Mendiang dilantik sebagai Pegawai Khas Ahmad Zahid pada 24 Disember lalu dengan tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat kaum India di seluruh negara tanpa mengira fahaman politik masing-masing.
Sebelum menyertai Barisan Nasional (BN), mendiang pernah bergiat dalam politik bersama DAP dan dikenali kerana aktif memperjuang kebajikan masyarakat di negara ini terutama komuniti India.
BHOnline