Ismail Sabri buat lain cakap lain

JOHOR BAHRU: Tindakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertikai ketetapan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertanding, disifatkan sebagai pelik.

Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ketika proses pengundian usul itu dibuat, Ismail Sabri yang juga bekas Perdana Menteri turut berdiri menyokong dua jawatan utama itu tidak dipertanding.

Katanya, walaupun majoriti perwakilan UMNO yang hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU) sudah buat keputusan kedua-dua jawatan utama parti itu tidak dipertanding, masih ada suara sumbang yang masih tak berpuas hati seperti rumah siap, pahat berbunyi.



“Naib Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Kesembilan, buat lain cakap lain. Ketika proses pengundian usul itu dibuat, dia boleh pula berdiri dan sokong tapi bila keluar dewan, dia buat pula sidang media dan mempertikai.

“Sepatutnya kalau dah setuju tu duduk diam saja. Kalau tak setuju, jangan duduk gatal-gatal nak bangun dan sokong.

Desakan Ismail Sabri langkah haramkan Umno?

“Saya dapat rasa sebenarnya dia tak puas hati sebab dia satu-satunya Naib Presiden yang tak dipilih untuk jadi menteri angkat kepada negeri yang akan terbabit dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Bila Presiden UMNO sebut nama Khaled (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) dan Mahdzir (Datuk Seri Mahdzir Khalid) tapi nama Ismail Sabri tak ada, dia kena terima hakikat.



“Mungkin Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sudah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap beliau asbab macam-macam perkara yang dibuat menongkah arus sepanjang jadi Perdana Menteri dulu. Mungkin itulah harga yang dia perlu dibayar bila selama ini terlalu mengikut telunjuk Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), berbanding arahan parti selama dia menjadi wakil UMNO sebagai PM,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Nur Jazlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Pulai turut menasihatkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishamuddin Hussein yang juga bekas Naib Presiden UMNO itu supaya tidak lagi melakukan tindakan membelakang parti.

“Bagi Ahli Parlimen Sembrong (Hishamuddin) pula, saya nasihatkan duduk diam-diam sudahlah lepas ini. Sudah banyak tindakan yang dia buat di belakang parti.

“Sign SD (akaun bersumpah) untuk sokong Perikatan Nasional (PN) buat kerajaan tanpa pengetahuan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan parti. Bila sudah ‘kantoi’ buat muka tak bersalah pulak.



“Bila nama kena petik dalam Taklimat dan Ucapan Dasar Presiden, terus buat-buat tak tahu. Kononnya tak tahu mengapa dia dicop sebagai pengkhianat. Tak perlulah berlakon suci macam ahli-ahli UMNO tak tahu apa yang dia sudah buat selama ini kepada parti,” katanya.

Nur Jazlan turut mencadangkan kepada mereka yang mahu sangat bertanding jawatan, boleh mencuba merebut jawatan tiga Naib Presiden yang dipertanding.

“Bolehlah cuba masukkan nama untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden yang sedia untuk dicabar. Mungkin Ismail Sabri boleh bersedia mempertahan kerusi itu yang disandang sekarang.

“Hishamuddin pun boleh juga ‘test market’ adakah dia benar-benar popular dalam kalangan ahli akar umbi dan perwakilan?



“Khairy Jamaluddin pun boleh juga cuba nasib di kerusi Naib Presiden itu, selepas pernah kalah dalam perebutan kerusi Presiden pada 2018 lalu.

“Saya percaya pastinya bukan setakat ahli UMNO saja yang ternanti-nantikan pertembungan epik ini, bahkan orang luar seperti yang mereka selalu sebut-sebut pun nak tahu tahap populariti jagoan politik UMNO ini,” katanya.

Nur Jazlan berkata, isu tiada pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sepatutnya sudah selesai dan tidak perlu diungkit lagi.

Katanya, perwakilan sudah membuat keputusan dan perlu dihormati dan diterima.



“Jangan diteruskan polemik yang tidak menguntungkan UMNO tapi sebaliknya semua pihak kena fokus untuk menghadapi enam PRN nanti,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button