Najmi sedia robek gawang Sepanyol
Bhubaneswar, India: Najmi Farizal Jazlan adalah salah seorang pakar pukulan sudut penalti namun masih belum diberi peluang untuk melakukannya dalam tiga perlawanan kumpulan C di Piala Dunia 2023.
Bagaimanapun, Najmi berkata dia akan sentiasa bersedia sekiranya khidmatnya itu diperlukan terutamanya ketika menentang Sepanyol dalam aksi crossover.
“Saya okay walaupun masih belum diberi peluang. Jika jurulatih Arul (Selvaraj) memanggil nama saya, saya percaya saya bersedia untuk melalukan flik menewaskan penjaga gol Sepanyol,” katanya.
Dalam pada itu Najmi yang sudah berada di bumi India bersama pasukan sejak 6 Januari lalu mengakui bukan mudah untuk meninggalkan keluarganya dalam tempoh yang lama
“Ia datang dengan profesion. Walaupun sukar untuk berjauhan dengan isteri dan anak-anak selama hampir sebulan, saya di sini untuk menjadikan Malaysian Tigers dikenali di tanah air.
“Isteri dan anak-anak saya sentiasa menonton saya bermain di kaca TV, dan itu menjadi inspirasi tambahan untuk saya mempamerkan prestasi terbaik.
“Pasukan ini bersedia untuk menewaskan Sepanyol dan bagi meningkatkan reputasi Malaysian Tigers. Kami akan bermain untuk memberi motivasi kepada generasi masa depan hoki di negara dan bukan sekadar beraksi untuk satu lagi perlawanan di Piala Dunia,” katanya.
Tambah pemain itu lagi, dia dan pasukan mahu beraksi dengan baik bagi meningkatkan motivasi pemain muda yang kini sedang menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja di Kuala Lumpur pada Disember.
“Sebagai senior mereka, kami perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pemain Bawah 21 tahun yang akan membawa nama Malaysia pada Disember nanti,” kata Najmi.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Meor Azuan Hasaan turut berazam untuk menewaskan Sepanyol dan bermain di suku akhir.
“Kami bermula dengan objektif berbeza menentang Belanda (kalah 0-4) dan selepas perlawanan itu, kami mahu memastikan mata penuh menjadi milik kami ketika menentang Chile dan New Zealand (menang kedua-dua perlawanan dengan keputusan 3-2).
“Kami diberi peluang 50-50 menentang New Zealand dan seterusnya memenangi perlawanan itu. Menentang Sepanyol, perkara yang sama.
“Kami mempunyai peluang 50-50 untuk menewaskan mereka dan kami akan pergi lebih jauh untuk memastikan nama Malaysian Tigers diingati.
“Tiada guna untuk datang ke Piala Dunia dan tidak memberikan yang terbaik untuk negara, kerana peluang seterusnya hanya akan datang dalam masa empat tahun lagi.
“Kenapa perlu menunggu empat tahun lagi, sedangkan Malaysian Tigers boleh mencapai tempat suku akhir esok?,” kata Meor.
METRO