Man United benam Forest 3-0
NOTTINGHAM: Marcus Rashford menjaringkan gol menerusi gerakan solo ketika Manchester United menewaskan Nottingham Forest 3-0 pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga.
Pemain England itu menjaringkan gol ke-18nya musim ini pada minit keenam aksi di City Ground.
Pemain pinjaman baharu United, Wout Weghorst menjaringkan gol pertamanya untuk kelab sebelum rehat, dan Bruno Fernandes memastikan kemenangan di akhir permainan.
Skuad kendalian Erik ten Hag itu semakin hampir untuk menempah tiket ke final di Wembley dan menamatkan kemarau enam tahun kejuaraan – dengan Newcastle atau Southampton sebagai halangan terakhir.
“Saya gembira dengan persembahan pasukan dan saya rasa kami mengawal seluruh permainan,” kata Ten Hag.
Forest menyaksikan gol mereka di babak pertama dibatalkan, dan Ten Hag memberi amaran kepada anak buahnya supaya tidak membiarkan lawan itu bangkit pada aksi timbal balik 1 Februari nanti di Old Trafford.
“Kami perlu bermain satu perlawanan lagi dan perlu melakukan perkara yang sama. Kami perlu bersedia, membuat perancangan yang baik dan pemain perlu fokus,” katanya.
Selepas jaringan Rashford, tuan rumah beranggapan mereka sudah menyamakan kedudukan menerusi Sam Surridge, tetapi gol berkenaan dibatalkan VAR kerana ofsaid.
AFP