Keane puji Weghorst buka akaun jaringan
Nottingham: Legenda Manchester United, Roy Keane memuji penyerang baru kelab itu, Wout Weghorst yang membuka akaun jaringan ketika menang 3-0 ke atas Nottingham Forest pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Liga, hari ini.
Bekas penyerang Burnley itu menjaringkan gol sulungnya sejak dipinjamkan ke Red Devils pada bulan ini apabila bertindak pantas melakukan tindakan susulan dan menjaringkan gol sebelum rehat perlawanan di City Ground.
Ketika memberikan analisis di Sky Sports, Keane dengan pantas meraikan jaringan penyerang Belanda itu dan mendakwa ‘ia adalah sebab pemain itu dibawa masuk ke kelab berkenaan’.
Bercakap mengenai gol kedua United itu, Keane berkata: “Penyudah yang baik, lihat kepada reaksi Weghorst.
“Ramai orang mengkritik kedatangannya ke kelab. Tetapi, inilah sebabnya dia dibawa masuk ke kelab dan ia adalah gol penting untuk United.”
Dia kemudian berkata: “Man United perlu membawa masuk seseorang. Pengurus sudah memberi bayangan jelas, tiada wang akan dibelanjakan. Mereka hilang Ronaldo dan tahap kecergasan Anthony Martial menjadi persoalan.
“Jadi, saya boleh nampak kepada mereka memperjudikan nasib dengan meminjamnya (Weghorst). Saya tidak fikir dia akan menjadi penyerang prolifik, tetapi dia boleh menjaringkan gol penting seperti itu dan membantu Marcus (Rashford). Dia adalah pemain antarabangsa, bukan sembarangan.
“Timbul pelbagai persepsi terhadapnya, mungkin kerana dia bergelut dengan Burnley yang mengharungi musim sukar, jadi ramai yang sudah mula menilainya berdasarkan situasi itu. Beri pemain ini peluang, malam ini dia menjaringkan gol penting untuk United dan selamat maju jaya untuknya.
“Dia kurang pantas dan itu mungkin memberi masalah apabila United cuba melakukan serangan balas pantas, tetapi mereka perlu bermain dengan menggunakan kekuatannya. Dia menghubungkan permainan dengan baik dan menjaringkan gol. Itu sebabnya dia dipinjamkan kerana dia bukan berada pada tahap tertinggi. Tetapi, perkara paling penting adalah pengurus sangat kenal dengannya dan anda perlukan karektor seperti itu di bilik persalinan.”
Weghorst dilihat sukar menjaringkan gol untuk United sebelum percubaan Antony diselamatkan Wayne Hennessey dan dia kemudian meluru pantas untuk menolak masuk bola ke dalam gawang.
Timbul persoalan sebaik Weghorst menyertai United pada awal jendela perpindahan Januaari ini, selepas pemain itu dipinjamkan dari Burnley untuk baki musim ini.
Jaringan Weghorst itu sangat penting buat United melebarkan penguasaan pada perlawanan itu selepas Rashford menjaringkan gol pembukaan menerusi gerakan solo menarik pada minit keenam.
Pemain berusia 25 tahun itu meluru pantas di sebelah kiri untuk mengatasi Serge Aurier dan Joe Worral sebelum merembat bola melepasi Hennessey untuk golnya yang ke-10 dalam 10 perlawanan.
Agensi