Benzema, Vinicius bawa Madrid ke separuh akhir

MADRID: Gol Karim Benzema dan jaringan saat akhir Vinicius Junior memberikan Real Madrid kemenangan 3-1 ke atas Atletico Madrid untuk mara ke separuh akhir Piala Raja Sepanyol.

Pertembungan tetangga Madrid itu tidak berpihak kepada skuad kendalian Diego Simeone di masa tambahan apabila pertahanannya, Stefan Savic dibuang padang.

Atletico mendahului permainan menerusi Alvaro Morata selepas 19 minit, tetapi gerakan licik Rodrygo menghasilkan gol penyamaan ketika aksi berbaki 11 minit.



Selepas Savic dilayangkan kad merah pada minit ke-99, Benzema meletakkan Madrid di depan hasil hantaran Marco Asensio dan Vinicus memastikan kemenangan sejurus sebelum wisel penamat untuk membawa Los Blancos ke kelompok empat terakhir buat pertama kali sejak tahun 2019.

Menjelang aksi tetangga itu, patung menyerupai Vinicus digantung dari jambatan berhampiran padang latihan Real Madrid, yang dianggap kelab itu sebagai tindakan bersifat perkauman yang menjijikan dan penuh kebencian.

Penyokong Madrid merancang untuk menyanyikan nama Vinicius sebagai sokongan pada minit ke-20, menyamai nombor jersinya, tetapi dikejutkan dengan jaringan Morata sebelum itu.



Rodrygo mengheret perlawanan ke masa tambahan hasil gerakan solo, dan kelebihan berpihak kepada Madrid apabila pertahanan Atletico, Savic dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.

Benzema memanfaatkan peluang pada minit ke-104 apabila hantaran lintang Asensio yang gagal disempurnakan Vinicius, sampai ke kaki penyerang Perancis itu.

Kali terakhir Madrid memenangi Piala Raja Sepanyol ialah pada tahun 2014.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button