Agong berkenan terima menghadap Naib Canselor UPNM menerusi sidang video

KUALA LUMPUR, 4 Jun — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga merupakan Tuanku Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkenan menerima menghadap Naib Canselor UPNM, Lt Jen Datuk Abdul Halim Jalal menerusi sidang video khas hari ini.

UPNM dalam satu kenyataan memaklumkan dalam sidang video diadakan pada 10 pagi tadi, Naib Canselor UPNM mengangkat sembah hal berkaitan perjalanan operasi universiti berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan COVID-19.

“Ini merangkumi strategi serta pelan tindakan semasa dan pasca-COVID-19 khususnya pentadbiran, pengurusan pelajar, pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan dan inovasi.



“Sementara itu, 218 pelajar yang berada di dalam dan luar kampus menerima bantuan makanan, keperluan harian, kesihatan dan lain-lain yang dibiayai sepenuhnya kerajaan serta UPNM. Sumbangan turut dihulurkan oleh syarikat dan badan korporat serta orang perseorangan,” kata kenyataan itu.

Pada sidang video khas itu juga, Seri Paduka turut bertitah supaya warga UPNM perlu membiasakan diri dengan normal baharu dan perlu mengikuti garis panduan yang dikeluarkan kerajaan seperti mengamalkan jarak sosial, cara berinteraksi secara berkumpulan dan dalam mesyuarat.

“Al-Sultan Abdullah berpuas hati dengan usaha dan inisiatif UPNM mengimplementasi secara aktif PdP dalam talian bagi memastikan pelajar tidak terjejas pengajian mereka. Namun, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan supaya UPNM tidak berkompromi dalam cara dan kualiti PdP dalam talian. Kompetensi dan kemahiran pensyarah juga perlu dipertingkatkan,” menurut kenyataan tersebut.

UPNM juga memaklumkan aktiviti PdP dalam talian telah dilaksanakan semenjak PKP berkuat kuasa dan akan diteruskan sehingga Disember depan memandangkan PdP secara bersemuka adalah tidak dibenarkan.



“Bagi memastikan aktiviti PdP secara dalam talian dapat dilaksanakan dengan capaian dan kebolehadiran yang tinggi, UPNM telah melaksanakan inisiatif memberikan bantuan kad SIM bernilai RM25 seorang kepada pelajar dalam kategori B40 untuk tempoh selama enam bulan,” kata UPNM.

UPNM berkata pihaknya turut memberi penumpuan kepada penyelidikan dan inovasi berkaitan dengan COVID-19 antaranya produk sedia dikomersialkan seperti Kebuk Pembasmi Kuman, COVID-19 IoT Emergency Mechanical Ventilator dan Termometer Arduino Boleh Pakai dan Berkos Rendah.

“Malah sepanjang tempoh PKP, penyelidik dan warga UPNM turut membantu petugas barisan hadapan dengan menghasilkan beberapa produk seperti cecair pembasmi kuman tangan, pelindung muka (3D Printed Faceshield dan Antifog Faceshield), sut peralatan perlindungan diri (PPE) dan kotak intubasi.

“Produk-produk ini disumbangkan kepada Hospital Serdang, Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Hospital Melaka, Klinik Kesihatan Kem Sungai Besi, lokasi sekatan jalan raya sekitar Kem Sungai Besi dan Pejabat Kesihatan Cheras,” kata kenyataan itu.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button