Tangani anak gatal gusi

GATAL gusi merujuk kepada proses perkembangan pertumbuhan awal gigi dalam kalangan bayi.

Kebiasaannya pada usia sekitar enam bulan sehingga lapan bulan dan kemungkinan pertumbuhan lebih awal dari tempoh itu kerana setiap bayi adalah berbeza.

Apabila bayi mengalami gatal gusi, si kecil itu mudah meragam dan menangis kerana tidak selesa. Gejala lain juga boleh dilihat antaranya gemar mengunyah atau menggigit, mengeluarkan air liur berlebih-lebihan, demam dan bengkak pada gusi.



Bagi memastikan bayi mampu bertoleransi dengan pengalaman tumbuh gigi itu, ibu bapa boleh melakukan perkara berikut untuk menenangkan anak mereka:

1. Urut gusi bayi

Ketika mengurut gusi bayi, sebaiknya bersihkan dahulu tangan. Kemudian letakkan bayi di atas katil atau dipangkuan mengikut posisi selesa.



Mulakan dengan urutan jari pada gusi bayi dengan lembut. Gosokkan lembut pada gusi membantu bayi berasa lebih tenang.

2. Kain lap sejuk

Tekanan dikenakan pada gusi bayi yang gatal boleh membantu mereka tenang. Menggunakan kain bersih yang dibasahkan dan diperah lalu dimasukkan dalam peti ais adalah salah satu cara untuk menghasilkan alat bantuan kunyahan (teething toy).

Cumanya ibu bapa perlu pantau ketika kain terbabit diberikan kepada bayi untuk dikunyah. Langkah pemantauan ibu bapa penting bagi mengelak insiden tersedak.



3. Sejukkan ‘teether’ dan puting

Rasa gatal membuatkan bayi memiliki tabiat gemar menggigit. Cara mudah untuk membantu bayi terbabit ialah sejukkan puting di dalam peti ais.

Cara sama boleh digunakan pada pilihan ‘teether’ yang lebih sesuai dan selamat. Pakar sarankan ‘teether’ jenis cecair atau jeli tidak disarankan kerana bimbang berlaku kebocoran dan menyebabkan insiden bayi termakan bahan asing terbabit.

4. Popsikel



Bayi kemungkinan menolak untuk makan apabila mereka tidak selesa termasuklah ketika mengalami gatal gusi. Langkah boleh dilakukan ibu bapa untuk ‘umpan’ bayi mereka ialah dengan menggunakan popsikel.

Kandungan boleh diubah sama ada susu ibu atau susu formula diambil bayi. Pilihan lain adalah menggunakan puri buah atau sayur tertentu seperti labu, keladi jepun atau buah naga. Pastikan pilihan acuan popsikel menggunakan material bebas BPA (Bisfenol-A).

5. Pemakaian bip dan sapu tangan

Menyiapkan alat untuk bayi mengunyah sahaja tidak memadai kerana keadaan lain seperti lelehan air liur berlebihan juga satu bentuk gangguan kepada mereka.



Apabila air liur meleleh dan tidak dilap boleh menyebabkan radang pada kulit.

Sebaiknya dalam tempoh bayi mengalami gusi gatal pakaikan mereka bip dan sediakan sapu tangan untuk lap air liur. Bayi berasa lebih selesa dan nyaman.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button