Pogba dalam bahaya
TURIN: Masa depan Paul Pogba bersama Juventus tampak dalam bahaya selepas kelab Itali itu mempertimbangkan untuk menjual atau membatalkan kontraknya.
Pemain berusia 29 tahun itu kembali ke Serie A pada musim panas lalu – enam tahun selepas dia meninggalkan Itali untuk menyertai Manchester United dengan rekod dunia ketika itu, RM521 juta.
Ketika penyokong United gembira kerana Pogba meninggalkan pasukan itu, penyokong Juventus pula kecewa kerana kepulangannya kali ini menjadi bertambah buruk berbanding musim terakhirnya di Old Trafford.
Ini selepas pemain Perancis itu belum pernah beraksi bersama Bianconeri kerana kecederaan lutut dan hanya kembali sebagai pemain gantian yang tidak digunakan ketika mereka tewas 2-0 di tangan Monza, minggu lalu.
Mimpi ngerinya berterusan apabila pengendali Juventus, Max Allegri menjelaskan dia belum lagi dapat beraksi kerana mengalami ‘kesakitan di bahagian otot.’
Susulan itu, timbul kemungkinan kontrak Pogba akan dibatalkan pada penghujung musim ini dan kemungkinan lain pula adalah Pogba akan menyertai liga yang kurang kompetitif seperti Major League Soccer (MLS) di Amerika Syarikat.
Juventus dan Pogba jelas berdepan hubungan yang tidak baik susulan masalah prestasi dan kehadiran pemain itu merosakkan keharmonian dalam pasukan.
Pogba sudah terlepas 27 perlawanan dan penyokong turut melahirkan kekecewaan dengan hantaran pemain itu di laman media sosial.
AGENSI