Sabitzer mampu ambil alih tugas Casemiro

London: David de Gea yakin akan kemampuan skuad Manchester United biarpun mereka akan turun tanpa Casemiro yang digantung perlawanan.

Pemain tengah Brazil, 30, menjadi watak penting buat Red Devils musim ini namun digantung tiga perlawanan selepas dibuang padang ketika United melakarkan kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace.

Casemiro akan terlepas tiga perlawanan domestik seterusnya selepas didapati melakukan kekasaran terhadap Will Hughes.



Dan penjaga gol De Gea percaya Marcel Sabitzer “bersedia memainkan peranan” dalam ketiadaan Casemiro.

Pemain antarabangsa Austria itu menyertai pasukan itu secara pinjaman pada Januari lalu berikutan kecederaan jangka panjang Christian Eriksen.

Ketiadaan Eriksen, ditambah penggantungan Casemiro, menjadikan Sabitzer menjadi pilihan terbaik untuk tiga perlawanan domestik seterusnya.



Dia dimasukkan dari bangku simpanan pada lewat perlawanan ketika mereka menang Sabtu lalu ke atas Eagles.

De Gea berkata: “Ia pasti sukar. Kami sudah kehilangan Christian, kini Casemiro: pemain yang penting untuk kami.

“Tetapi kami mempunyai skuad yang lebih besar, pemain sudah bersedia untuk bermain, semua orang benar-benar fokus.

“Sabitzer menunjukkan dia sudah bersedia – dia bermain 15 hingga 20 minit dan dia melakukannya dengan sangat baik, melakukan beberapa terjahan yang bagus dan dia juga bagus dengan bola. Semua orang bersedia untuk bermain.”



De Gea berkata “Sabitzer seorang pemain yang berpengalaman. Dia bermain banyak perlawanan di Bundesliga dan seorang lelaki yang baik. Bagus di bilik persalinan.

“Bukan mudah untuk berada dalam perlawanan apabila kami kekurangan seorang pemain. Dia menunjukkan semangat yang luar biasa dan banyak membantu pasukan.”

Dua perlawanan Liga Perdana United seterusnya menentang pesaing Leeds diikuti dengan pertemuan Liga Europa dengan Barcelona, di mana Casemiro akan kembali beraksi.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button