Atsu ditemui selamat dalam runtuhan bangunan
ACCRA: Pemain sayap Ghana, Christian Atsu ditemui selamat dalam runtuhan bangunan yang ranap akibat gempa bumi yang melanda Turkiye.
Pengesahan itu dibuat Naib Presiden Hatayspor, Mustafa Ozat kepada media hari ini.
Atsu yang beraksi dengan Hatayspor dilaporkan hilang di wilayah Hatay susulan gempa bumi bermagnitud 7.8 yang meruntuhkan bangunan di beberapa bandar di Turkiye dan Syria semalam.
“Christian Atsu dibawa keluar dengan selamat tetapi mengalami kecederaan. Malangnya, pengarah sukan kami Taner Savut, masih di bawah runtuhan,” kata Mustafa Ozat kepada Radyo Gol.
Atsu, 31, bermain di Liga Perdana Inggeris bersama Newcastle United serta Everton, dipinjamkan daripada Chelsea dan menyertai Hatayspor pada September.
Dia kali terakhir beraksi untuk Ghana pada 2019 tetapi belum bersara secara rasmi daripada bola sepak antarabangsa.
Ozat berkata kepada BeIN Sports semalam beberapa pemain dan pegawai berjaya dikeluarkan daripada runtuhan.
REUTERS