Al-Sultan Abdullah zahir simpati kepada mangsa banjir, gempa bumi

Kuantan: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa simpati kepada mangsa banjir di beberapa negeri termasuk Pahang.

Baginda berharap semua mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dapat segera pulang ke rumah masing-masing.

“Saya harap cuaca akan bertambah baik mudah-mudahan, saya harap semua (penduduk) yang terpaksa berpindah boleh pulang ke rumah semua,” titah baginda.



Baginda bertitah demikian ketika ditemui media selepas mencemar duli melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Rakyat Ubudiah dekat Taman Guru, Kuantan hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Al-Sultan Abdullah pada masa sama turut menzahirkan rasa simpati dengan kejadian gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria pada Isnin lalu.



Baginda menyeru kepada semua rakyat Malaysia supaya dapat sama-sama mendoakan keselamatan rakyat negara itu.

“Agak sesuatu yang malang bagi rakyat di sana (Turkiye, Syria) dan saya harap kita sama-sama berdoa, sembahyang hajat agar Allah SWT dapat memberikan sedikit rahmah kepada mereka yang kehilangan nyawa.

“Kita di sini hanya hadapi banjir tahun demi tahun, namun kita harus bersabar dan kita amat sedih (dengan) kejadian di Turkiye dan Syria itu,” titah baginda.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button