Adeyemi laju sebab makan ‘fufu’ ubi kayu

DORTMUND, Jerman: Penyerang muda Borussia Dortmund, Karim Adeyemi mendedahkan apa yang menyebabkannya mampu berlari laju dalam perlawanan bola sepak – makan menu Afrika ‘fufu’ yang diperbuat daripada ubi kayu.

Pemain muda berusia 21 tahun itu mencuri tumpuan ramai apabila menjaringkan gol tunggal kemenangan 1-0 Dortmund ke atas bekas juara Chelsea pada aksi pertama, pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara baru-baru ini.

Pada perlawanan itu, Adeyemi menyambut bola muntah susulan sepakan sudut dari dalam kawasannya sendiri, meluru melepasi kawalan pemain tengah Enzo Fernandez sebelum menggelecek penjaga gol Kepa Arrizabalaga dan menyepak ke dalam pintu gol yang ternganga bagi memastikan kemenangan pasukannya.



Tidak hairan dia mendapat pujian tinggi melangit kerana kepantasannya yang mengagumkan selain ketenangannya menjaringkan gol.

Adeyemi, yang dilahirkan di Jerman tetapi berbapakan warga Nigeria, Abbey dan ibunya dari Romania, berkata fufu membantunya menjadi pemain yang mampu berlari pantas.

“Saya banyak makan makanan Afrika tetapi saya juga mempunyai genetik yang bagus daripada bapa saya.



“Makanan itu digelar fufu dari Nigeria,” katanya.

Adeyemi, yang berpindah dari kelab Austria, Red Bull Salzburg pada musim panas lalu dengan kontrak lima tahun, kini sudah menjaringkan lima gol dan dua ‘assist’ dalam 23 perlawanan bagi semua pertandingan bersama Dortmund.

Dia juga antara pemain terpantas dalam Liga Juara-Juara musim ini selepas mencatat kepantasan tertinggi 36.1 kilometer sejam awal musim ini.

Dia membuat empat penampilan bersama skuad kebangsaan Jerman dan menjaringkan satu gol setakat ini.



Dortmund, yang kini bersaing sengit dengan Bayern Munich dan Union Berlin dalam Bundesliga apabila ketiga-tiga pasukan itu mengumpul 43 mata dan dipisahkan dengan perbezaan jaringan, dilaporkan membeli Adeyemi dengan harga £32.5 juta (RM174 juta).

Pada Hari Boxing hujung Disember lalu, dia menghabiskan masa di Ibadan, wilayah Oyo, Nigeria tempat kelahiran bapanya sebelum Bundesliga disambung semula pada awal Januari.

Dia menghadiri perlawanan antara pasukannya Adeyemi FC menentang kelab Liga Perdana Nigeria, Shooting Stars Sports Club dari Ibadan. Aksi itu dimenangi Shooting Stars 1-0.

Di Nigeria, fufu atau akpu adalah makanan popular yang diperbuat daripada ubi kayu segar atau ditapai.



Cara dan versi fufu di Nigeria berbeza daripada fufu versi Ghana, namun ia merupakan makanan ruji di kedua-dua negara.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button