Lukaku ledak gol tunggal atasi Porto
MILAN: Romelu Lukaku memberikan Inter Milan kelebihan untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali selepas lebih sedekad dengan meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Porto.
Penyerang Belgium itu memecah kebuntuan ketika aksi pertama pusingan 16 terakhir di San Siro berbaki empat minit.
Skuad kendalian Simone Inzaghi akan bertandang ke Portugal bulan depan untuk aksi timbal balik bagi menentukan siapa yang akan mara ke kelompok lapan terakhir.
Ia adalah gol kedua Lukaku pada perlawanan keduanya dalam semua pertandingan untuk Inter selepas penyerang 29 tahun itu dibelenggu kecederaan sepanjang musim.
Gol liga terakhir Lukaku ialah pada Ogos lalu dan kali ini dia memberikan kelebihan buat Inter untuk ke suku akhir pertama sejak tahun 2011 dengan jaringan sebagai pemain gantian babak kedua.
Gol liga terakhir Lukaku ialah pada Ogos lalu dan kali ini dia memberikan kelebihan buat Inter untuk ke suku akhir pertama sejak tahun 2011 dengan jaringan sebagai pemain gantian babak kedua.
Juara Portugal itu sentiasa menjadi penghalang buat pasukan Itali sepanjang beberapa musim lalu tetapi kali ini terpaksa bangkit di laman sendiri bulan depan jika ingin menjadikan satu lagi kelab Serie A sebagai mangsa – selepas Juventus dan Roma.
“Ia adalah kelebihan tipis yang akan kami manfaatkan ke atas pasukan yang bagus, fizikal dan sering beraksi di pusingan 16 terakhir serta suku akhir. Ia kemenangan hebat.
“Kami berhak menerimanya selepas apa yang dipersembahkan di atas padang, tetapi kami tahu ia belum selesai di sini dan perlawanan kedua akan menjadi lebih sukar,” kata Inzaghi.
AFP