Gimnas KL hilang ‘tempat berteduh’
Kuala Lumpur: Amat mengejutkan apabila atlet gimnastik cilik Kuala Lumpur mampu untuk meraih pingat emas dalam beberapa kejohanan kebangsaan tahun lalu meskipun mempunyai fasiliti yang kurang lengkap di pusat latihan mereka berbanding negeri lain.
Bagaimanapun ketika ini, barisan atlet cilik itu berdepan satu lagi masalah apabila pusat latihan di Kompleks Sukan Taman Tasik Perdana yang dihuni sejak 2018 bakal diambil semula oleh pihak berkuasa tempatan tidak lama lagi sekali gus menyaksikan mereka kehilangan tempat untuk berlatih.
Ia didedahkan sendiri, Pemangku Presiden Persatuan Gimnastik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mike Ng yang melihat situasi berkenaan mampu memberi kesan kepada prestasi atlet cilik sekiranya mereka tidak berlatih untuk satu jangka masa yang panjang.
Malah beliau juga turut mendedahkan terdapat beberapa ahli gimnastik negeri itu melahirkan hasrat untuk bersara awal jika tidak dapat pusat latihan memandangkan terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi sekiranya berlatih di kelab-kelab gimnastik di sekitar lembah Klang.
“Kami memerlukan sebuah gimnasium baharu untuk dijadikan tempat latihan untuk atlet-atlet ini. Dulu kami diberikan tempat ini pada 2016 sebagai tempat untuk atlet menjalani latihan serta mencungkil bakat-bakat muda baharu gimnastik Kuala Lumpur.
“Tapi pada hujung tahun lalu, kami dapat surat yang menyatakan kami perlu berpindah kerana kawasan yang diduduki ketika ini akan dibangunkan. Kami faham dengan situasi itu namun kami perlu ada satu tempat latihan baharu untuk atlet.
“Berbeza dengan sukan lain, gimnastik perlu satu tempat yang luas untuk kami letakkan pelbagai peralatan untuk kemudahan mereka berlatih. Jadi bila tiada tempat dekat mana mereka mahu berlatih? Kalau nak berlatih di kelab persendirian ia akan memakan jumlah yang tinggi.
“Bagi saya ia satu kerugian jika atlet-atlet ini tiada pusat latihan dalam masa terdekat kerana mereka memang sangat memerlukannya ketika ini. Kalau dilihat keadaan gimnasium ini, walaupun peralatan yang tidak mencukupi dan keluasannya yang terhad tetapi mereka mampu untuk menang emas dalam beberapa kejohanan yang disertai berbanding lawan mereka yang ada semua kemudahan.
“Cuba bayangkan atlet-atlet ini jika kita beri mereka kemudahan yang lengkap dan kita latih lebih baik lagi. Saya rasa tak mustahil mereka-mereka ini mampu untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Mike memohon campur tangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Wilayah Perseketuan (MSWP) bagi menyelesaikan isu berkenaan.
“Kami tidak kisah sama ada mereka mahu beri tempat baru atau lama. Kami terima sahaja asalkan mereka ada tempat latihan.
“Malah kalau mereka beri kami berlatih di Gimnasium 3 bukit jalil, itu sebenarnya lagi bagus. Jadi kami harap isu ini mendapat perhatian pihak KBS dan MSN supaya atlet muda ini dapat satu tempat latihan baru,” ujarnya
METRO