Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga bekas presiden MCA
Kuala Lumpur: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Presiden MCA Tan Sri Lee San Choon yang meninggal dunia semalam.
Turut menzahirkan ucapan takziah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menerusi hantaran di Faceboook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Lee dan berharap seluruh keluarga mendiang sabar serta tabah menghadapi dugaan serta suasana sedih dan pilu itu.
“Seri Paduka berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti mendiang kepada masyarakat dan negara,” demikian menurut catatan itu.
Mendiang Lee, 88, yang dilahirkan di Pekan, Pahang, pernah dilantik memegang beberapa portfolio menteri antaranya Menteri Buruh, Kerja Raya dan Kemudahan Awam dan Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Penyelaras Kampung Baru.
Semasa hayatnya, mendiang pernah berkhidmat sebagai Presiden MCA bermula pada 1975 hingga bersara daripada arena politik pada tahun 1983, selain pernah memegang jawatan Ketua Pemuda MCA dan pernah dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Parti Perikatan.
Di awal pembabitan dalam dunia politik, mendiang pernah bertanding pada pilihan raya umum (PRU) bagi kerusi Parlimen Kluang Utara dan memenangi kawasan itu pada tahun 1959 dan ketika itu baru sahaja berumur 24 tahun.
METRO