Skuad negara muncul juara Silat Premier Antarabangsa Sarawak

KUCHING: Skuad kebangsaan dinobatkan sebagai juara keseluruhan kejohanan Silat Premier Antarabangsa Sarawak (SPISC) 2023, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai AS$20,000 (RM87,510).

Kontinjen negara berjaya menamatkan cabaran dengan pungutan 11 pingat emas, dua perak dan dua gangsa dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Perpaduan dari 27 Februari sehingga semalam.

Sarawak selaku tuan rumah muncul naib johan dengan pencapaian sembilan emas, sembilan perak dan sembilan pingat gangsa, manakala Singapura di tangga ketiga dengan lapan emas, 10 perak dan lima pingat gangsa.



Menerusi kejayaan tersebut, Sarawak dan Singapura masing-masing membawa pulang wang tunai AS$4,000 (RM17,904) dan AS$2,000 (RM8,952).

Misi menggenggam emas pasukan negara itu bermula dengan kemenangan Afiq Aniq Fazly yang tampil cemerlang bagi kategori Putra G senior, diikuti Norsyakirah Muksin bagi acara Putri B senior dan Mohamad Hazim Amzad (kategori Putra C senior).

Antara pingat emas yang berjaya dikutip skuad kebangsaan adalah menerusi kemenangan Siti Shazwana Ajak (Putri D senior); Nor Farah Mazlan (Putri A senior) dan Mohd Abdul Latif Mazakir dalam kategori Putra H senior.



Dalam pada itu, jurulatih skuad negara Siti Rahmah Nasir berkata pencapaian para pesilat menepati sasaran dan kejohanan berkenaan menjadi medan kesiapsiagaan menjelang Sukan SEA di Kemboja Mei ini.

“Semua pesilat yang beraksi pada SPISC merupakan kontinjen yang akan mewakili negara di Sukan SEA nanti dan secara keseluruhannya, mereka sudah siap baik dagi segi mental dan fizikal,” katanya yang juga bekas juara dunia.

Edisi sulung kejuaraan SPISC 2023 menghimpunkan lebih 500 pesilat dari pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat, Uzbekistan, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura.

– BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button