Benfica belasah Brugge 5-1
Lisbon: Benfica membelasah Club Brugge 5-1 dengan dua gol disumbangkan penyerang, Goncalo Ramos untuk menyingkirkan pasukan Belgium itu daripada Liga Juara-Juara dan mara ke suku akhir hasil agregat 7-1 di Estadio da Luz.
Dipimpin oleh Joao Mario yang tidak mengenal erti penat lelah, termasuk menjaringkan gol menerusi penalti di lewat permainan, Benfica membuktikan mengapa mereka adalah pasukan terbaik Portugal sejak Porto kendalian Jose Mourinho dinobatkan sebagai juara Eropah 19 tahun lalu.
“Kami mempunyai satu objektif dan ia adalah untuk menang setiap perlawanan supaya kami terus mara,” kata Rafa Silva yang membuka jaringan di lewat separuh masa pertama.
Bergelut dalam saingan liga Belgium, Brugge masih segar dengan kekalahan memalukan 0-3 kepada kelab bawahan Oostende hujung minggu lalu.
Mereka sekarang ini berada di tangga keempat, dengan hanya memenangi dua daripada 15 perlawanan dalam semua kejohanan.
Mereka tidak mampu menandingi Benfica yang mempamerkan permainan teratur dan masih belum tumpas dalam perlawanan Liga Juara-Juara musim ini.
Benfica hanya kalah dalam dua aksi kompetitif musim ini dengan kedua-duanya ketika menentang Braga dan salah satunya menerusi penentuan penalti ketika terikat 1-1 di Piala Portugal.
Mereka mencatat tujuh kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Primeira dengan menjaringkan 18 gol dan bolos sekali.
Reuters