Krisis Myanmar perlu kesepakatan ASEAN
KUALA LUMPUR: Penyelesaian krisis politik dan kemanusiaan di Myanmar perlu diselesaikan menerusi kesepakatan ASEAN, bagi mengelak isu itu digunakan pihak luar untuk campur tangan dan menimbulkan ketegangan di rantau Asia Tenggara.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata atas faktor itu Malaysia memilih pendekatan mengadakan usaha libat urus bersama dengan negara anggota ASEAN yang lain atas prinsip ‘ASEAN centrality’.
Tegasnya, Malaysia secara bersendirian tidak mampu untuk membantu menyelesaikan krisis di Myanmar, kerana isu yang berlaku adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN.
“Malaysia tidak akan berhenti mengadakan usaha libat urus bersama dengan rakan-rakan ASEAN. Isu Myanmar bukan boleh ditangani oleh Malaysia semata-mata, ia memerlukan kesepkaatan ASEAN.
“ASEAN centrality sangat-sangat mustahak. Kita faham isu yang dihadapi ini adalah sangat rumit dan ideanya akan memungkinkan ada kuasa lain masuk nanti untuk campur tangan, dan ia akan mewujudkan suasana flashpoint (pertembungan) di kawasan itu dan menjadikan rantau Asia Tenggara tidak aman.
“Oleh itu, Malaysia akan meneruskan usaha kita sehinggalah satu penyelesaian yang muktamad dapat dilaksanakan, termasuklah membabitkan usaha secara inklusif membabitkan semua pihak yang berada di sana dan pihak yang menentang kerajaan di Myanmar,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang bertanya sama ada Malaysia boleh mengetuai usaha menyelesaikan krisis di Myanmar susulan kudeta tentera pada 1 Februari 2021, selain kemungkinan Malaysia mengenakan sekatan ekonomi terhadap Myanmar.
BHOnline