Hoe Yean tambah dua emas lagi di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Perenang negara, Khiew Hoe Yean terus menampilkan prestasi cemerlang apabila menambah dua lagi emas dalam koleksi peribadinya pada Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-65 di sini.

Hoe Yean, 20, memulakan aksi hari ini dengan meraih emas bagi acara 200 meter (m) kuak lentang lelaki dengan catatan masa 2 minit 03.97 saat (s) di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi itu mengenepikan cabaran perenang Taiwan, Liang Yun Wu di tempat kedua (2:04.72s) serta perenang Sarawak, Hii Puong Wei di tempat ketiga (2:06.79s).



“Bagi saya catatan tadi adalah baik, namun tidak dapat menyaingi rekod kebangsaan (2:00.80s) saya, tapi saya tetap berpuas hati. Apa pun, saya akan lakukan yang terbaik untuk baki acara yang akan dipertandingkan esok sebagai persiapan ke Sukan SEA 2023 Kemboja Mei ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hoe Yean selepas itu membuktikan keunggulannya dengan membantu kuartet 4×100 gaya bebas berganti-ganti lelaki Kuala Lumpur bersama Muhammad Dhuha Zulfikry, Jayden Tan dan Muhammad Farhan Andi Maroef merangkul emas dengan mencatatkan masa 3:28:80s.

Kuartet renang dari Selangor memenangi tempat kedua (3:29.15s) sementara kuartet renang Pulau Pinang di tempat ketiga (3:36.61s).

Dalam pada itu, hasrat Hoe Yean untuk menambah lagi emas di kejohanan itu tidak kesampaian, selepas menamatkan saingan di tempat kedua bagi acara 200m gaya bebas lelaki dengan catatan 1:49.74s.



Emas acara itu diraih perenang Taiwan, Wang Kuan Hung (1:49.37s) dan gangsa diraih rakan sepasukan Hoe Yean, Jayden (1:51.85s).

Hoe Yean sebelum ini memecahkan rekod kebangsaan acara 200m rampaian individu walaupun sekadar meraih pingat gangsa, serta meraih pingat emas menerusi acara 4x200m gaya bebas berganti-ganti lelaki bersama Muhammad Dhuha, Muhammad Farhan dan Jayden, selain meraih tempat keempat bagi acara 100m gaya bebas lelaki pada kejohanan sama.

– BERNAMA




Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading